Tok Mat Banyak Jasa Disenangi Rakyat

Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi.

SEREMBAN: “Saya memilih Datuk Seri Mohamad Hasan kerana beliau pemimpin yang berwibawa dan sudah banyak menabur bakti kepada rakyat dan pembangunan Rantau,” kata Mohd Idzar Zainal, 32.

“Beliau juga mempunyai personaliti yang baik dan saya rasa majoriti penduduk di sini, amat menyenangi kepimpinan beliau,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Bagi penduduk Kampung Kanchong Rantau itu, kepimpinan dan jasa Mohamad kepada penduduk Rantau tiada tolok bandingnya sejak beliau menjadi wakil rakyat kawasan itu selama tiga penggal.

Kakitangan swasta yang mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua Rantau itu berkata, bukan saja dalam soal meningkatkan kemudahan prasarana membabitkan pelbagai kaum, malah Mohamad yang mesra dikenali sebagai Tok Mat adalah pemimpin yang banyak membantu rakyat.

“Tok Mat banyak bantu rakyat tanpa mengira kaum. Apa saja permasalahan yang dihadapi penduduk di sini, beliau bantu mengatasinya termasuk dalam soal kebajikan, pendidikan dan sosio-ekonomi,” katanya mengulas kemenangan Tok Mat dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, semalam.

Mohamad yang juga calon Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat selepas menewaskan tiga pencabarnya pada PRK semalam.

Timbalan Presiden UMNO yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi.

Selain Mohamad, PRK itu ditandingi calon Pakatan Harapan (PH), Dr S Streram dan dua calon Bebas iaitu, R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Sementara itu, bagi seorang lagi pengundi, Khairi Musa, 50, dari Kampung Sega Kuala Sawah, Tok Mat menang kerana beliau adalah pemimpin berjiwa rakyat.

Peniaga itu berkata, Tok Mat banyak membantu penduduk Rantau tanpa mengira kaum dan sewajarnya beliau diberikan amanah untuk terus memimpin dan menjadi wakil rakyat Rantau.

“Sejak menetap di sini sembilan tahun lalu saya dapati Tok Mat disayangi penduduk Rantau dan kemenangan beliau dalam PRK ini memang wajar,” katanya.

Bagi peniaga, Lan Lek Chee, 40, dari Taman Bandar Ekar Rantau juga mengakui Tok Mat seorang pemimpin yang disenangi rakyat dan mempunyai wawasan.

“Tok Mat banyak tolong rakyat membuatkan beliau disenangi masyarakat pelbagai kaum di Rantau. Kami mahu beliau terus jadi wakil rakyat kawasan ini,” kata anak kelahiran Rantau itu yang mengundi di SJKC Chung Hua.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama