Kerajaan negeri kemuka tuntutan pampasan RM17.1 bilion

Jadi, jumlah dicadangkan untuk hapus kira adalah RM1.494 bilion untuk keseluruhan hutang kerajaan negeri. Manakala, baki selepas cadangan hapus kira sebanyak RM1.678 bilion

Foto - Utusan Online

KUANTAN: Kerajaan Pahang sedia mengemukakan permohonan tuntutan pampasan kepada kerajaan Persekutuan bagi kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar yang digunakan sebagai kawasan tadahan air.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kawasan seluas hampir satu juta hektar itu adalah kos melepas bagi kerajaan negeri membabitkan kos keseluruhan RM17.1 bilion.

“Untuk makluman Yang Berhormat Ketari, kawasan hutan simpan dan hutan rizab hidupan liar digunakan sebagai kawasan tadahan air membabitkan kos melepas kerajaan negeri sebanyak RM16.4 bilion.

“Manakala bagi kawasan Empangan Kelau, kos melepas kerajaan negeri sebanyak RM692 juta dan kos keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion. Ini kos melepas yang terpaksa kerajaan negeri lepaskan demi mensejahterakan rakyat di luar negeri Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) pada sesi soal jawab persidangan penggal kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Seri Pahang, di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri akan berjumpa dengan kerajaan Persekutuan bagi meminta kos RM17.1 bilion itu ditolak hutang kerajaan negeri sebanyak RM3.17 bilion.

“Begitu juga dengan kawasan Kelau di mana kerajaan negeri kerugian daripada hasil pembalakan, mineral dan cukai tanah lebih kurang 33,000 hektar.

“Dengan kata lain, kerajaan Persekutuan berhutang dengan kerajaan negeri dan itu belum lagi dikira dengan tunggakan. Kalau dikira tunggakan berserta faedah, mungkin jumlahnya lebih daripada itu,” katanya.

Wan Rosdy berkata, setakat ini hutang kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan berjumlah RM3.172 bilion dengan membabitkan hutang air sahaja berjumlah RM2.08 bilion.

Oleh itu, katanya kerajaan negeri bercadang untuk menghapus kira hutang air sebanyak RM1.251 bilion atau 60 peratus daripada keseluruhan hutang air itu.

“Kerajaan Persekutuan ada berhutang dengan kerajaan negeri membabitkan kos penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2014 sebanyak RM200 juta dan bencana banjir pada tahun 2014 sebanyak RM43 juta.

“Jadi, jumlah dicadangkan untuk hapus kira adalah RM1.494 bilion untuk keseluruhan hutang kerajaan negeri. Manakala, baki selepas cadangan hapus kira sebanyak RM1.678 bilion,” jelasnya.

Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sudah mengemukakan permohonan hapus kira pinjaman bagi projek bekalan air luar bandar sebanyak 60 peratus itu daripada jumlah pinjaman semasa kepada Perdana Menteri pada 5 Oktober tahun lalu.

Manakala, baki pinjaman negeri yang tidak dihapus kira itu akan diambil alih oleh Perbadanan Aset Air Berhad Pahang.

“Sebagai balasan, kerajaan negeri perlu memindah milik aset bernilai bersamaan dengan jumlah pinjaman yang diambil alih oleh Pahang untuk tempoh 45 tahun.

“Hutang bekalan air kerajaan negeri akan distrukturkan semula melalui penstrukturan semua industri dan perkhidmatan bekalan air negeri sejajar dengan kehendak industri bekalan air di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air (IPA2006).

“Kaedah penstrukturan ini tertakluk kepada terma-terma tawaran daripada kerajaan Persekutuan serta rundingan bersama. Akan tetapi, kerajaan negeri masih belum terima tawaran ini daripada kerajaan Persekutuan,” katanya.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama