Elak susut nilai, balak curi segera dilelong

BALAK yang dirampas akan dilelong secara terbuka antara seminggu hingga sebulan bagi mengelak kerosakan hingga mengakibatkan kerugian.

Penguat Kuasa, Mohd Azhar Mudzafar (kanan) memeriksa balak jenis balau yang akan dilelong di Hutan Simpan Kekal Berkelah.

BALAK yang dirampas akan dilelong secara terbuka antara seminggu hingga sebulan bagi mengelak kerosakan hingga mengakibatkan kerugian.

Menurut laporan Harian Metro, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, sebelum ini pihaknya terpaksa mengambil masa panjang untuk membuat lelongan disebabkan beberapa faktor yang tidak dapat dielakkan.

Katanya, kelewatan menjual atau membuat lelongan mengakibatkan berlaku susut harga ketara apabila balak mengalami kerosakan kerana pecah dan kering selepas terdedah panas dan hujan serta dimakan serangga perosak.

“Saya sudah mengarahkan Unit Penguat kuasa (UPK) Pahang Timur dan Barat serta Bahagian Pendakwaan JPNP supaya segera menyelesaikan setiap kes membabitkan rampasan balak supaya lelongan dapat dilakukan segera.

“Terdapat beberapa kes sebelum ini membabitkan balak yang dirampas dilelong mengalami susut harga ketara hingga merugikan kerana kayu itu rosak,” katanya di Kuantan hari ini.

Beliau berkata, jumlah serta kedudukan balak yang jauh di hutan selain faktor jalan memindahkan kayu juga turut menyebabkan berlaku kelewatan proses melelong dilakukan.

Mohd Hizamri berkata, antara spesies balak yang mudah rosak ialah jenis meranti, jelutong dan kelat.

Katanya, bagi memastikan kerajaan negeri tidak menanggung kerugian, proses melelong perlu dilakukan secepat mungkin selepas semua proses pendakwaan selesai.

“Jabatan sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memastikan hasil hutan negeri terutama balak di kawasan hutan simpan dan tanah milik kerajaan memberi pendapatan menguntungkan dalam apa juga keadaan.

“Usaha berkenaan turut membabitkan tindakan menyekat kegiatan memindahkan balak tanpa lesen, pelbagai kaedah serta cara digunakan oleh Bahagian Penguat Kuasa JPNP bagi melumpuhkan pihak tidak bertanggungjawab itu,” katanya.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama