Kerajaan sentiasa pantau pelajar Malaysia di Sudan

Untuk rekod, jumlah pelajar Malaysia di Sudan adalah seramai 101 pelajar, yang mana 95 daripada mereka berada di Khartoum. Selebihnya iaitu seramai enam orang buat masa ini berada di Malaysia.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengesahkan bahawa Kerajaan Malaysia terus memantau pelajar Malaysia di Sudan berikutan pergolakan politik di negara itu.

Menurutnya, kesemua pelajar telah dinasihatkan supaya sentiasa mengikuti arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum dari semasa ke semasa.

“Education Malaysia Mesir (EME) telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Khartoum dan wakil pelajar bagi mendapatkan maklumat lanjut terutama situasi terkini para pelajar Malaysia di negara itu.”

“EME dimaklumkan bahawa seorang daripada 96 pelajar yang berlindung secara sementara di Rumah Malaysia iaitu kediaman rasmi Duta Besar di Syarik Riyard atas faktor keselamatan telah selamat sampai di Malaysia, menjadikan keseluruhan pelajar yang masih berada di Rumah Malaysia seramai 95 orang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Untuk rekod, jumlah pelajar Malaysia di Sudan adalah seramai 101 pelajar, yang mana 95 daripada mereka berada di Khartoum. Selebihnya iaitu seramai enam orang buat masa ini berada di Malaysia.

Terdahulu, dilaporkan bahawa Kerajaan Sudan telah mengisytiharkan perintah darurat selama tiga bulan, yang diumumkan oleh Majlis Peralihan Tentera pada 12 April lalu.

Pengisytiharan darurat itu bukan hanya membabitkan perintah berkurung tetapi turut mencakupi penutupan sementara Lapangan Terbang Antarabangsa Khartoum selama 27 jam pada Khamis, 11 April 2019.

Pada waktu ini universiti-universiti masih ditutup dan tarikh universiti dibuka semula masih tidak diketahui.

“Untuk makluman, para pelajar Malaysia kebanyakannya menetap di sekitar Khartoum iaitu Makrumah, Arkaweet dan Mujahideen.

“Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang menetap di Asrama Turki (asrama yang diuruskan oleh badan bukan kerajaan Negara Turki) dan Asrama Universiti Antarabangsa Afrika, selain di Kompleks Petronas Khartoum (bagi mereka yang bertugas sebagai imam),” jelasnya lagi.

Katanya, EME akan terus mendapatkan perkembangan terkini daripada Kedutaan Besar Malaysia Khartoum dan Persatuan Mahasiswa Malaysia Sudan untuk menyediakan bantuan sekiranya diperlukan.

KPM turut berterima kasih kepada Kedutaan Besar Malaysia Khartoum atas segala kemudahan dan bantuan yang disediakan kepada pelajar-pelajar Malaysia dalam menghadapi situasi getir ini.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama