Pemilu 2019: Tun Mahathir telefon Jokowi ucap tahniah

Dr Mahathir mengucapkan tahniah di atas keberhasilan Pemilu kelmarin.

Selain Dr Mahathir, Jokowi (kiri) juga memberitahu, beliau menerima panggilan yang sama daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Leong dan Perdana Menteri Turki, Reccep ... Erdogan - Foto BPMI

Perdana Menteri, Tun  Dr Mahathir Mohamad telah menghubungi pemimpin Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) pada Khamis bagi menyampaikan ucapan tahniah di atas kejayaan perjalanan Pemilihan Umum (Pemilu) 2019 semalam.

Menurut laporan AstroAwani, Dalam sidang media sebentar tadi, Jokowi yang ditemani gandingannya dalam Pemilihan Presiden (Pilpres), Ma’aruf Amin berkata, Dr Mahathir menelefon beliau secara peribadi bagi menyampaikan ucapan berkenaan.

“Dr Mahathir mengucapkan tahniah di atas keberhasilan Pemilu kelmarin (Rabu),” kata Jokowi dalam sidang media yang turut disiarkan secara langsung di stesen televisyen.Selain Dr Mahathir, Jokowi juga memberitahu, beliau menerima panggilan yang sama daripada Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Leong dan Perdana Menteri Turki, Reccep Erdogan.

Jokowi bagaimanapun tidak menyatakan secara jelas ucapan tahniah daripada pemimpin-pemimpin merujuk kepada keputusan kiraan pantas Pilpres yang menyaksikan beliau dan Ma’aruf sudah selesa mendahului proses demokrasi itu.

Sehingga kini, rata-rata kiraan pantas yang dibuat oleh pelbagai lembaga statistik memperoleh keputusan Jokowi–Ma’aruf berada di kedudukan teratas.

Bagaimanapun, pesaing Jokowi, Prabowo Subianto turut mendakwa kem beliau bersama Sandiaga Uno meraih undian tertinggi iaitu lebih 60 peratus.

Menjelang 6 Mei ini, Komisi Pemilihan Umum akan mengumumkan keputusan rasmi Pilpres.

Sementara keputusan Pemilihan Legislatif akan mengambil masa untul diumumkan iaitu menjelang 22 Mei ini.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama