Bakal guru perlu bersedia dengan Industri 4.0

Salah satunya ialah aktif meneroka ilmu pengetahuan dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

Azman (tengah) bersama peserta Seminar Penyelidikan Pendidikan 2019.

KUALA NERUS – Bakal pendidik perlu bersedia sepenuhnya sebelum menyahut cabaran fizikal, mental dan emosi dalam menggalas tanggungjawab mereka sebagai seorang pendidik kelak.

Menurut laporan Sinar Harian, Pengarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Dato Razali Ismail, Dr Azman Jusoh berkata, salah satunya ialah aktif meneroka ilmu pengetahuan dengan mengamalkan konsep pembelajaran sepanjang hayat.

“Mereka juga perlu peka dengan kemajuan teknologi yang relevan untuk diaplikasikan selaras dengan alaf Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) ketika ini,” katanya.

Sebelum itu, beliau merasmikan Majlis Penutup Seminar Penyelidikan Pendidikan Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) di IPG Kampus Dato Razali Ismail dengan jumlah penyertaan seramai 136 peserta.

Seminar yang bertemakan ‘Paradigma Alternatif Solusi Pendidikan Penyelidikan’ itu dilaksanakan di bawah kelolaan Jabatan Penyelidikan dan Inovasi Profesionalisme Keguruan.

Seminar juga menjadi sebagai wadah dalam perkongsian dapatan kajian para pelajar PISMP bagi mencapai kegemilangan dalam pendidikan bertepatan dengan visi ‘ IPG Peneraju Kecemerlangan Pendidikan Guru’.

Di samping itu, Azman turut menyarankan agar bakal pendidik terbabit dapat melaksanakan seminar penyelidikan di peringkat lebih tinggi dan tidak hanya tertumpu dalam skop IPG semata-mata.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama