Kula Cake mampu menjadi tarikan baru pelancong ke Kuantan

KUANTAN: Seorang bekas pensyarah kolej swasta di sini mampu meraih pendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 sehari hasil perniagaan kek, terutama kek keju mangga yang kini menjadi pemanis mulut popular di bandar ini.

Hasil air tangan Farisha Mazlan, 28, iaitu kek keju mangga yang dibuat dengan resipi ciptaan sendiri boleh dianggap sebagai ‘ikon’ baharu untuk bandar ini.

Sebut sahaja kek keju mangga, penggemarnya sudah pasti terbayangkan Kuantan.


FARISHA menyusun sebahagian kek di kedainya. – Foto Luqman Hakim Zubir

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Arkitek dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata setiap hari dia memerlukan 180 kilogram (kg) mangga untuk memenuhi permintaan orang ramai sekitar Kuantan dan ejen yang menjualnya di luar negeri Pahang.

“Bukan mudah membuat kek keju mangga kerana ia memerlukan ketelitian terutama bagi memastikan ia mampu bertahan selama dua minggu jika disimpan secara sejuk beku.

“Purata kek keju mangga yang dijual setiap sehari ialah 20 biji yang dipotong kepada beberapa kepingan, ada juga kek jenis lain dijual iaitu pavlova, red velvet, toblerone cheese, creme brulee, brownies, victoria sandwich dan kek lobak,” katanya.


PELANGGAN menjamu selera di Kula Cakes. – Foto Luqman Hakim Zubir

Berasal dari Tok Sira di sini, Farisha berkata, walaupun beliau tidak mempunyai pengalaman dalam bidang kulinari dan pembuatan kek, ia bukan alasan untuk berjaya.

“Paling penting adalah berusaha keras dan saya melalui pelbagai cabaran seperti kek dibuat tidak ‘menjadi’, kek menjadi masam, pahit dan berkulat, namun ia tidak menghalang saya untuk meneruskan impian,” katanya.

Katanya, dia ada menerima tawaran membuka lebih banyak cawangan namun terpaksa ditolak kerana mahu memfokuskan kepada satu kedai sahaja dalam memastikan kualitiinya terjamin.

“Ia memerlukan perancangan teliti, apa guna kalau mempunyai beberapa cawangan tetapi tidak mampu menguruskannya dengan baik sehingga boleh menjejaskan seluruh peniagaan,” katanya.

Keunikan menikmati di Kula Cakes, orang ramai bukan hanya dapat menikmati kek keju mangga yang enak tetapi dalam suasana santai seolah-olah seperti berada dalam taman dengan dekorasi dinding mural berkonsepkan hidupan hijau diilhamkan suaminya, Ahmad Waqiuddin Ahmad Latifi, 30.


KEK keju mangga yang dibuat dengan resipi sendiri boleh dianggap sebagai ‘ikon’ terbaru di Kuantan. – Foto Luqman Hakim Zubir

INFO

# Harga sepotong kek bermula dari RM5 hingga RM10

# Harga bagi sebiji kek bermula dari RM70 hingga RM130

# Minuman istimewa di Kula Cakes adalah Pandan Cooler

# Kula Cakes turut menyediakan kek untuk majlis hari jadi dan perkahwinan

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama