Sektor korporat keluar belanja, e-sukan untungkan negara

Kita (Malaysia) tidak menolak kemungkinan akan membida untuk menganjurkan Piala Dunia Mobile Legends tahun depan dan ini akan menguntungkan negara kerana kerajaan tidak mengeluarkan dana langsung - Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Penganjuran e-sukan akan menguntungkan negara kerana kerajaan tidak perlu mengeluarkan dana sebaliknya sektor korporat sendiri yang mengeluarkan perbelanjaan untuk menganjurkannya, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata, selalunya sektor korporat sendiri akan datang kepada kerajaan bagi mengeluarkan dana menganjurkan e-sukan kerana mereka tahu mampu mengaut keuntungan jutaan ringgit.

“Macam saya maklumkan semalam yang kita (Malaysia) tidak menolak kemungkinan akan membida untuk menganjurkan Piala Dunia Mobile Legends tahun depan dan ini akan menguntungkan negara kerana kerajaan tidak mengeluarkan dana langsung.

“Dalam sektor ini (e-sport), kita nak pastikan sektor korporat datang ke hadapan untuk mengeluarkan dana macam sebelum ini penganjuran Dota Major siapa sangka peminat sukan itu sanggup beli tiket yang mahal untuk datang melihat dan ini memberikan keuntungan kepada penganjur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penang Youth Festival, di sini hari ini.

Menurutnya, hadiah wang tunai yang mencecah jutaan ringgit kepada peserta juga selalunya ditaja oleh penaja.

Sebelum ini, Syed Saddiq dilaporkan berkata Malaysia tidak menolak kemungkinan akan membida untuk menganjurkan Piala Dunia Mobile Legends tahun depan.

Pembangun e-sukan mudah alih popular Mobile Legends-Moonton merancang untuk mengadakan kejohanan peringkat dunia tahun depan termasuk di peringkat Asia, Eropah dan Amerika Syarikat berikutan peningkatan jumlah pemain di rantau itu.

Mobile Legends merupakan satu permainan video mudah alih dalam talian multi-pemain yang dibangunkan dan diterbitkan oleh Moonton pada 2016.

 Bernama

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama