Skandal rasuah: SPRM sahkan tahan 79 individu

Jumlah itu termasuk tangkapan hari ini, seramai 21 orang melibatkan 19 penguat kuasa JPJ dan dua lagi bekas anggota Agensi Pengangkutan Darat (APAD).

PUTRAJAYA – Seramai 79 individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak 16 April lalu bagi membantu siasatan berkaitan skandal rasuah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang.

Menurut laporan Sinar Harian, jumlah itu termasuk tangkapan hari ini, seramai 21 orang melibatkan 19 penguat kuasa JPJ dan dua lagi bekas anggota Agensi Pengangkutan Darat (APAD).

Mereka yang berusia antara 33 hingga 53 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Pulau Pinang antara jam10.15 pagi hingga 3.15 petang tadi.

Tangkapan dilakukan kerana mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan menerima rasuah bagi melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan di sekitar Pulau Pinang.

Baca jugaWang rasuah cecah RM140,000, SPRM tahan 22 penguat kuasa JPJ

Menurut sumber, kesemua pegawai penguat kuasa JPJ dari Gred 22 hingga Gred 29 yang bertugas di Pejabat JPJ Pulau Pinang dan dua bekas anggota APAD Wilayah Utara itu dipercayai menerima bayaran secara bulanan sejak 2016 dan sehingga kini dengan jumlah terkumpul bagi kesemua wang rasuah tersebut adalah melebihi RM80,000.

Tambah sumber, SPRM tidak menolak kemungkinan ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan.

“Tangkapan ini merupakan siasatan peringkat ketiga susulan penahanan 58 pegawai penguat kuasa JPJ dan orang awam pada 16 April dan 20 April lalu, menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan SPRM adalah seramai 79 orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama