Tiada petunjuk baharu kehilangan Zahir

Jumaat lepas, pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah melakukan operasi pencarian di Sungai Semenyih, kira-kira 300 meter dari kawasan kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang tetapi tidak menemui apa-apa.

Polis masih tidak menemui sebarang petunjuk baharu mengenai kes kehilangan kanak-kanak Muhammad Zahiruddin Putra di Bandar Seri Putra, Bangi, dekat sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, pihaknya masih giat menjalankan operasi pencarian kanak-kanak berumur lapan tahun itu.

Beliau berkata, Jumaat lepas, pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia telah melakukan operasi pencarian di Sungai Semenyih, kira-kira 300 meter dari kawasan kanak-kanak tersebut dilaporkan hilang tetapi tidak menemui apa-apa.

“Usaha pencarian kini lebih tertumpu kepada rumah ke rumah, selain mengharapkan bantuan daripada daerah-daerah lain di Malaysia serta maklumat daripada orang ramai untuk mengesan kanak-kanak ini,” katanya.

Bapa Zahiruddin iaitu Mohd Fauzi Abdul Ghafar, 45, memberitahu segala ikhtiar telah dilakukan pihaknya agar anaknya segera ditemui.

“Solat hajat juga saya lakukan sebagai ikhtiar supaya anak saya ditemui, selain mengharapkan maklumat daripada pihak polis,” kata Mohd Fauzi.

Sementara itu, ibu Zahiruddin, Saniah Sunding, 46, mengharapkan pihak yang menemui Zahiruddin untuk mengembalikan anaknya dalam keadaan selamat.

“Saya masih tidak boleh lupa akan anak saya, dan mengharapkan dia pulang kepada kami dalam keadaan selamat,” katanya yang mengambil cuti sejak kes kehilangan anaknya dilaporkan.

Muhammad Zahiruddin dilaporkan hilang setelah keluar dari rumahnya pada kira-kira 8 pagi, untuk bermain. – Bernama

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama