Sembelih lembu raikan 80 guru

YDP PIBG SMK Padang Midin, Jusoh Ismail berkata, program kali kedua diadakan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara guru dan masyarakat kampung seterusnya membentuk permuafakatan demi kebaikan bersama.

Penduduk Kampung Beladau Selat, di sini menyembelih seekor lembu bagi meraikan seramai 80 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin, sempena Majlis Tautan Muhibah Komuniti Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Bersama Guru.

Menurut laporan Sinar Harian, Yang Dipertua PIBG SMK Padang Midin, Jusoh Ismail berkata, program kali kedua diadakan itu bertujuan mengeratkan hubungan antara guru dan masyarakat kampung seterusnya membentuk permuafakatan demi kebaikan bersama.

“Kali pertama program ini diadakan di Masjid Al-Muttaqin, Kepong pada 2018. Tahun ini kita adakan lagi majlis seumpama itu yang bertujuan mendekatkan lagi masyarakat dan guru di SMK Padang Midin.

“Hubungan baik antara kedua-dua pihak penting dalam memastikan anak-anak yang dididik dapat mengekalkan prestasi terbaik di sekolah dan dalam masa yang sama mengatasi masalah sosial dalam kalangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata, program anjuran PIBG, Persatuan Ibu Bapa Komuniti (PIBK) SMK Padang Midin dan SK Kepong itu turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Terengganu, Jelani Sulong dan Pengetua SMK Padang Midin, Abu Hasmadi A Bakar.

Katanya, majlis itu dimeriahkan dengan kehadiran 400 komuniti kampung termasuk mereka yang bertungkus-lumus menyiapkan juadah untuk dihidangkan kepada tetamu.

“Seramai 30 penduduk kampung menguruskan hidangan utama (lembu) bermula daripada menyembelih, melapah dan memasak gulai sebagai juadah utama.

“Tugas memasak dan penyediaan bahan masakan semuanya diuruskan oleh penduduk kampung dan majlis berlangsung dalam suasana muhibah dan penuh meriah”, katanya.

Program bertemakan Terima Kasih Cikgu itu bermula jam 7 petang sehingga 10 malam di Masjid Beladau Selat, baru-baru ini.


TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama