Harimau Malaya mungkin guna khidmat Lee Tuck di Qatar

Cheng Hoe berkata ini termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat arkitek tengah Terengganu FC, Lee Tuck yang kini dalam proses menyiapkan segala dokumen berkaitan proses naturalisasi beliau.

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui telah mempunyai bayangan barisan kesebelasan utama skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan pusingan pertama Piala Dunia Qatar 2020, Jun depan.

Cheng Hoe berkata ini termasuk tidak menolak kemungkinan menggunakan khidmat arkitek tengah Terengganu FC, Lee Tuck yang kini dalam proses menyiapkan segala dokumen berkaitan proses naturalisasi beliau.

Katanya selain itu empat pemain iaitu Syahmi Safari, Akhyar Rashid, Safawi Rasid dan Syamer Kutty Abbar turut berpotensi berada dalam senarai pemain kesebelasan utama.

“Lee Tuck memang bermain dengan begitu baik dan mempunyai ciri-ciri sebagai pemain kebangsaan dan kami berharap dia boleh mendapatkan pasport Malaysia secepat mungkin supaya kita boleh daftarkan untuk (bersama) pasukan Malaysia di kelayakan Piala Dunia nanti,” katanya.

Logo Qatar 2022

Cheng Hoe bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Klinik Permainan Bola Sepak di Sekolah Menengah Lambor Kiri dekat sini, hari ini.

Seramai 250 pelajar sekolah dari daerah Perak Tengah menyertai klinik tersebut yang julung kali disertai jurulatih kebangsaan iaitu Cheng Hoe, penolong jurulatih, S. Balachandran dan jurulatih penjaga gol, Azmin Azram Abdul Aziz.

Menjelas lanjut, Cheng Hoe berkata sehingga kini pihaknya belum memanggil mana-mana pemain namun sentiasa memantau prestasi pemain di kelab atau negeri sebelum memulakan latihan untuk skuad kebangsaan pada 27 Mei nanti.

Beliau berkata keputusan mengenai kesebelasan utama dijangka diputuskan setelah perlawanan persahabatan sama ada menentang Pakistan, Nepal atau Bangladesh yang dijadual pada 2 Jun depan.

“Kami masih memantau pemain yang akan diserapkan dan berharap pemain tidak keletihan dan mengalami kecederaan yang sedikit merisaukan saya,” katanya.

Malaysia yang kini berada diranking ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia akan melayan kunjungan Timor Leste yang dijadual pada 6 Jun atau pada sambutan Aidilfitri kedua, manakala perlawanan timbal balik pada 11 Jun di stadium yang akan ditetapkan kemudian.

– Bernama

TINGGALKAN MAKLUMBALAS

Masukkan Komen
Masukkan nama