Kerajaan lulus peruntukan RM109j untuk Terengganu

Peruntukan ini juga termasuk bagi beberapa projek baru dan sambungan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Kementerian Pembangunan Luar Bandar meluluskan peruntukan RM109 juta kepada kerajaan negeri Terengganu tahun ini, kata menterinya, Rina Harun.

Malaysiakini melaporkan, Beliau berkata peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) itu ialah bagi pelaksanaan 10 projek baru dan 39 projek sambungan.

Ia termasuk projek pembinaan dan baik pulih jalan, program kesejahteraan rakyat, perhubungan desa, bekalan air bersih dan ameniti sosial yang diperluaskan ke seluruh daerah.

“Peruntukan ini juga termasuk bagi beberapa projek baru dan sambungan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

“Kita berharap supaya kerajaan negeri dapat menggunakan peruntukan ini secara efisien demi manfaat rakyat di kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu hari ini.

Pertemuan itu bagi berbincang, memperkemas serta memantau perjalanan projek Kementerian Luar Bandar bersama kerajaan negeri.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri Terengganu Dr Azman Ibrahim.

Sementara itu, Rina berkata kerajaan juga akan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) ke-55 di daerah Dungun bagi menempatkan lebih ramai pelajar cemerlang daripada golongan B40.

Menurut beliau, pembinaan itu dijangka menelan belanja RM130 juta dan dapat menampung 750 pelajar pada satu-satu masa.

“Proses membersihkan tapak sedang berjalan pada masa ini dan kita jangkakan MRSM ini akan siap pada 2023,” katanya lagi.

Bernama