Agong rasmi sambutan 100 tahun Bukit Fraser

Baginda sebelum itu tiba di majlis berkenaan pada 8.50 malam dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

RAUB – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan merasmikan Sambutan 100 Tahun Bukit Fraser di Bukit Fraser di sini malam ini.

Baginda sebelum itu tiba di majlis berkenaan pada 8.50 malam dengan diiringi Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Wan Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar dan Perladangan negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.

Majlis ulang tahun seumpama itu julung kali diadakan sejak pembukaan Bukit Fraser iaitu daripada sebuah kawasan perlombongan kepada sebuah pusat peranginan tanah tinggi oleh seorang pengembara yang juga ahli perniagaan Scotlands, Louis James Fraser pada 1919.

Sempena majlis perasmian itu, tetamu yang hadir turut dihiburkan dengan persembahan Beg Paip St John’s Johannians Pipes and Drums serta pentomin yang menceritakan kembali tentang sejarah pembukaan Bukit Fraser 100 tahun lalu dengan turut menampilkan pelakon terkenal Datuk Jalaluddin Hassan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, Bukit Fraser yang berkeluasan 6,930 hektar dengan puncak tertingginya 1,420 meter dari paras laut, hanya 30 peratus sahaja daripada kawasannya dibangunkan.

Katanya ia kaya dengan pelbagai keindahan alam flora dan fauna dan lebih 260 spesies burung menyebabkan kawasan itu sering menjadi tumpuan pencinta alam dan lokasi mengejar burung.

“Selain Bukit Fraser, Pahang mempunyai banyak kawasan tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands yang amat sensitif dengan alam sekelilingnya dan kerana itu, kawasan ini terus dijagai.

“Oleh itu pentadbiran kerajaan negeri sentiasa menjaga agar alam sekitar terus terpelihara,” katanya.

Katanya sehingga kini Bukit Fraser terus menjadi tumpuan kalangan pelancong termasuk dari luar negara yang inginkan udara yang segar dan mengikut statistik kedatangan pelancong ke kawasan peranginan itu dalam tempoh lima tahun sejak 2014, menunjukkan peningkatan dengan kedatangan pelancong pada tahun lepas seramai 103,649 orang.

Sementara itu, katanya sempena Sambutan Perayaan 100 Tahun Bukit Fraser pelbagai acara dilakukan termasuk acara 100 pendaki ke Pine Hills, Bukit Fraser esok, yang akan melibatkan peserta dalam kalangan kakitangan agensi kerajaan, pengamal media dan badan bukan kerajaan (NGO).

Selain itu turut diadakan Fraser Hills International Bird Race 2019 yang akan berlangsung selama dua hari pada 22 dan 23 Jun depan.- Bernama