Pelajar dirotan 22 kali dengan batang penyapu

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Nasri Mansor berkata, pelajar berusia 13 tahun itu tampil membuat laporan polis pada jam 9.56 pagi semalam terhadap seorang guru lelaki berusia 38 tahun berhubung kejadian terbabit.

LAHAD DATU – Seorang pelajar lelaki Tingkatan Satu di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa dirotan 22 kali oleh guru kelasnya dengan menggunakan sebatang plastik penyedok sampah di dalam kelasnya hingga punggungnya lebam, Rabu lalu.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner, Nasri Mansor berkata, pelajar berusia 13 tahun itu tampil membuat laporan polis pada jam 9.56 pagi semalam terhadap seorang guru lelaki berusia 38 tahun berhubung kejadian terbabit.

“Dalam kejadian 11.30 pagi pada Rabu itu, mangsa dipercayai dirotan sebanyak 22 kali di hadapan pelajar lain selepas didapati tidak hadir ke sekolah pada Isnin lalu tanpa kebenaran dan makluman guru kelas terbabit.

“Siasatan awal mangsa mengakui tidak hadir kerana mengikuti bapanya ke Tawau bagi menyaksikan kejohanan taekwondo dan tidak membuat sebarang pemakluman kepada pihak sekolah berhubung perkara itu,” katanya, dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, mangsa, yang mendapatkan rawatan awal selepas kejadian, mengalami kecederaan lebam di bahagian punggung dan kecederaan tisu lembut.

Nasri, dalam pada itu berkata, guru berkenaan mengenakan denda terhadap mangsa menggunakan batang penyedok sampah kerana terlupa membawa rotan.

Sementara itu, katanya, guru berkenaan belum ditahan kerana siasatan masih berjalan dan selepas kertas siasatan disiapkan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.-Bernama