Enam rakan ‘kaki lalok’ ditahan

Serbuan jam 1 pagi itu diketuai Inspektor Norizan Ramli bersama anggotanya itu memberkas kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

Nor Azmi (kiri) dan pegawainya menunjukkan barangan dadah dirampas pada sidang media di IPD Sabak Bernam, di sini hari ini.

SABAK BERNAM – Enam penagih dadah dicekup dalam ‘Ops Tapis’ di sebuah bengkel motosikal di Batu 1 Tebuk Supar, di sini semalam.

Serbuan jam 1 pagi itu diketuai Inspektor Norizan Ramli bersama anggotanya itu memberkas kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 40 tahun.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, dalam serbuan itu, polis merampas dadah jenis heroin seberat 11.88 gram dan syabu seberat 0.94 gram.

“Dadah heroin dirampas bernilai RM330 dan syabu pula RM30 dengan nilai keseluruhan rampasan RM360,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, di sini hari ini.

Nor Azmi berkata, kesemua rakan ‘lalok’ yang ditahan juga memiliki rekod jenayah dan narkotik lampau.

“Malah dua daripada enam suspek menjadi buruan polis kerana terlibat dalam kes narkotik.

“Kedua suspek berusia 26 dan 37 tahun itu terbabit dalam kes masing-masing di Kelana Jaya dan Kapar, Klang,” katanya.

Beliau berkata, seorang penganggur wanita berusia 29 tahun dan dua lagi suspek lelaki berusia 31 dan 40 tahun pula dikehendaki kerana terlibat dalam kes mencuri dan narkotik.

“Manakala, seorang lagi suspek berusia 25 tahun tidak memiliki rekod lampau,” katanya.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka disahkan positif dadah jenis syabu dan morfin.

“Semua suspek kini direman selama tujuh hari bermula kelmarin hingga Ahad ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.