Agong perkenan lantik Abdul Hamid sebagai KPN baharu

Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas segala sumbangan beliau dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatannya sejak tahun 2017.

Abdul Hamid Bador

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah telah memperkenan melantik Datuk Seri Abdul Hamid Bador sebagaiKetua Polis Negara secara kontrak selama dua tahun.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu termaktub di bawah Fasal 4 dan 5 Perkara 140, Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis memperkenankan pelantikan tersebut.

“Pelantikan Abdul Hamid berkuatkuasa mulai 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberi bayangan Abdul Hamid yang sebelum ini menjadi pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, bakal dilantik menjadi Ketua Polis Negara yang baru.

Abdul Hamid yang kini berusia 60 tahun dilahirkan pada 7 Ogos 1958 dan telah memegang pelbagai jawatan dalam pasukan polis di peringkat daerah, negeri dan Ibu Pejabat Bukit Aman.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau ialah Timbalan Ketua Polis Gombak, Ketua Cawangan Khas Negeri, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perisikan Luar (E3), Bahagian Ancaman Ekstrimis Luar, Timbalan Pengarah Cawangan Khas I dan Pwngadah Cawangan Khas sejak Mei 2018.

Berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang kepolisian, Abdul Hamid mempunyai kompetensi dan daya tahan kepimpinan yang tinggi bagi meneruskan kesinambungan dan tanggungjawab menerajui pasukan Polis Diraja Malaysia.

Dalam pada itu, Muhyiddin merakamkan penghargaan kepada bekas Ketua Polis Negara,Tan Sri Mohamad Fuzi Harun atas segala sumbangan beliau dan khidmat bakti sepanjang tempoh perkhidmatannya sejak tahun 2017.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Dr Mahathir merasakan Yang di-Pertuan Agong mungkin telah menandatangani surat pelantikan.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita berhubung status Abdul Hamid yang dilantik memangku jawatan tersebut pada bulan lepas.

“Ya, saya fikir dia lah jadi Ketua Polis Negara. “(Adakah surat lantikan sudah diberi?) Saya fikir Yang di-Pertuan Agong sudah menandatanganinya,” katanya.

Begitupun, Dr Mahathir tidak berkongsi maklumat lanjut dan tidak memberitahu bilakah Abdul Hamid akan dilantik secara rasmi.

Abdul Hamid yang merupakan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman dilantik memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pada 15 Mac lepas.

Pengumuman itu dibuat pada Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur pada pertengahan Mac lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun membuat pengumuman itu pada majlis berkenaan berkata, Abdul Hamid akan memangku sebagai Timbalan Ketua Polis Negara sehingga satu keputusan rasmi dibuat oleh kerajaan.

Abdul Hamid dilantik menggantikan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim yang bersara dari pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) selepas 35 tahun berbakti dalam pasukan itu.

Noor Rashid dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada Disember 2014 sebelum ini dan tugasnya disambung secara kontrak selama setahun.