Pentadbiran PH cacamarba, kata Noh Omar

Noh berkata, beliau yakin rakyat negeri ini boleh menilai dasar dan melihat sendiri pembangunan yang berlaku di negeri ini.

Noh (dua, kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut di Kampung Bestari Jaya di sini, semalam.

BESTARI JAYA – Perlaksanaan segala dasar yang dibuat kerajaan negeri dilihat tidak konsisten dan hanya menyebabkan kehidupan rakyat semakin menderita.

Menurut laporan Sinar Harian, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pemansuhan beberapa insentif termasuk khairat kematian membuktikan dasar yang dilaksanakan pentadbiran PH cacamarba dan tidak berterusan.

“Kita melihat bahawa kerajaan Selangor tidak yakin dengan dasar yang dibuat dan akhirnya menilai bahawa dasar itu tidak betul dan terpaksa memberhentikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sumbangan Mangsa Ribut di Kampung Bestari Jaya di sini, semalam.

Seramai 51 mangsa ribut yang melanda kampung itu pada Mac lalu menerima sumbangan berkenaan.

Noh berkata, beliau yakin rakyat negeri ini boleh menilai dasar dan melihat sendiri pembangunan yang berlaku di negeri ini.

Katanya, rakyat di negeri ini bijak dalam berpolitik dan ini dapat dilihat selepas BN kembali merampas kerusi DUN Semenyih.

“Saya melihat politik di Selangor ini memang mudah berubah contohnya, kita memenangi semua 22 kerusi Parlimen dan 54 daripada 56 kerusi DUN pada 2004.

“Tetapi apabila rakyat negeri Selangor berkehendakkan sesuatu perubahan, maka pada tahun 2008 BN yang menang di semua kerusi Parlimen dan DUN akhirnya tewas hingga kita menjadi pembangkang di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, di peringkat persekutuan pula, Kerajaan PH yang sebelum ini sering mengkritik pentadbiran BN dilihat membuat pusingan U.

“Dari segi membuat dasar untuk memberikan pembelaan kepada rakyat, dasar kerajaan BN lebih praktikal, bertahan lama dan lebih disenangi rakyat.

“Kita tidak berjanji yang bukan-bukan contohnya seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia apa pun mereka cakap yang dapat manfaatnya ialah rakyat,” katanya.