Rekaan wau cecah ribuan ringgit

Seorang pencinta wau, Mazlan Jaafar, 58, berkata, pembuat wau perlu memiliki kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan wau yang baik dan menepati standardnya.

Wau lazimnya sinonim dengan rakyat di Kelantan tetapi hakikatnya ia turut dihasilkan di Terengganu dan beberapa negeri lain di Pantai Barat antaranya di Perlis dan Kedah suatu ketika dulu.

Menurut laporan Sinar Harian, di Terengganu masih ada golongan pencinta wau yang masih meneruskan tradisi membuat wau malah mereka sanggup menjelajah ke seluruh daerah mahu pun keluar negeri ini untuk berkongsi minat.

Seorang pencinta wau, Mazlan Jaafar, 58, berkata, pembuat wau perlu memiliki kemahiran, ketekunan dan kesabaran yang tinggi untuk menghasilkan wau yang baik dan menepati standardnya.

Menurutnya, keindahan dan keunikan permainan wau ini boleh menarik perhatian dan menggamit pelawat berkunjung ke negeri itu untuk mengetahui lebih lanjut berkaitannya terutama pelancong asing.

“Namun bukan mudah menghasilkan wau. Untuk membuat wau seseorang perlu mempunyai kesabaran serta minat mendalam malah penghasilan wau memerlukan masa panjang,” katanya hari ini.Antara wau yang dihasilkan untuk pameran serta tempahan.

Katanya, masa terluang yang dihabiskan untuk membuat wau berbaloi apabila ia turut menjadi pendapatan sampingan buatnya sekeluarga selain dapat berkongsi kemahiran dengan generasi muda.

Mazlan masih mengekalkan pembuatan wau tradisi dahulu dengan menggunakan buluh diraut dan kertas warna, kebanyakan wau hasil ciptaannya mampu dijual dengan harga bermula pada RM650.

Harga perlu dibayar ini sebenarnya masih rendah berbanding usaha, tenaga serta masa diperlukan untuk menyiapkan sesebuah wau yang mengambil masa kira-kira dua minggu sehingga sebulan untuk satu wau.

“Saya boleh menyiapkan sebuah wau dalam sebulan dan mampu dijual dengan harga RM650 hingga RM1,800 dengan saiz setengah hingga satu meter bergantung kepada tempahan diperoleh,” katanya.

Antara wau yang dihasilkan seperti wau jala budi, wau bulan, wau merak dan wau kucing serta pelbagai jenis lain manakala tempahan diterima biasanya wau jenis popular termasuklah wau bulan.

Datuk kepada 14 cucu berasal dari Batu Burok itu sudah berkecimpung dalam bidang pembuatan wau sejak 30 tahun lalu serta aktif mengadakan pameran bersama agensi pelancongan negeri.

Kali terakhir beliau menyertai pameran wau bulan sempena Karnival Usahawan Desa (KUD) 2019 Zon Timur di dataran Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak di sini, baru baru ini.

Bagi mengembalikan kegemilangan wau di negeri ini, Mazlan dan anak-anak didiknya turut mengendalikan bengkel membuat wau dengan menggalakkan penyertaan golongan belia setempat.