Jumpa mayat berkain pelikat, berbaju kurta

"Mangsa memakai kain pelikat berwarna coklat petak, baju kurta hitam. Turut ditemui kopiah dan selipar.

KOTA BHARU – Mayat seorang lelaki ditemui di tingkat tiga sebuah bangunan yang masih dalam pembinaan di Tunjong kira-kira jam 9 pagi tadi.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Kominsioner Abdul Rahim Daud berkata, mayat mangsa ditemui oleh pekerja bangunan berkenaan dan pihak polis menerima panggilan jam 9.05 pagi berhubung kejadian itu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan tiada sebarang dokumen atau pengenalan ditemui bersama mangsa.

“Mangsa memakai kain pelikat berwarna coklat petak, baju kurta hitam. Turut ditemui kopiah dan selipar.

“Pemeriksaan pada tubuh badan si mati terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala, calar pada seluruh badan, hidung berdarah dan patah kaki kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan telah dilakukan di seluruh bangunan 19 tingkat yang masih dalam pembangunan itu dan tiada kesan jenayah ditemui.

“Mangsa bukanlah pekerja di situ. Siasatan mendapati bangunan itu tidak mempunyai pengawal keselamatan dan boleh dimasuki oleh sesiapa sahaja melalui mana-mana anak tangga dan lif pekerja.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk bedah siasat jam 12 tengah hari tadi.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Justeru sesiapa yang kehilangan saudara mara atau ada sebarang maklumat berkaitan supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk membuat pengecaman ke atas mayat tersebut,” katanya.