Kenali Herold Goulon, pemain import Pahang

Herold Goulon boleh dianggap antara pembelian import terbaik Liga Malaysia musim ini.

Bertubuh tegap dengan ketinggian 1.95m, Goulon adalah tunjang kekuatan Pahang di bahagian pertahanan.

Malah sesekali dia akan bertindak secara ofensif terutama dalam serangan balas.

Bentuk fizikalnya juga memberi kelebihan kepada Goulon untuk menjadi target man bila Pahang mendapat peluang mengancam lawan melalui situasi bola mati seperti sepakan bebas dan sudut. Setakat ini dia sudah menjaringkan beberapa gol melalui set piece, contohnya ketika seri 1-1 dengan JDT.

Sebenarnya Goulon memulakan karier sebagai pemain tengah dan pernah dianggap sebagai pengganti legenda Perancis, Patrick Viera.

Bintangnya tampak cerah apabila dipilih mewakili skuad Bawah 21 Tahun Perancis melalui tiga penampilan pada 2009.

Apatah lagi Goulon turut memikat perhatian kelab-kelab Liga Perdana England. Namun, dua percubaannya untuk mencipta nama di EPL berakhir dengan kekecewaan.

Dia mendapat peluang pertama pada 2006 apabila dilamar Middlebrough ketika berusia 18 tahun. Dia menghabiskan dua musim di bangku simpanan, memaksanya kembali ke Perancis untuk membina karier bersama Le Mans pada 2008.

Peluang kedua hadir pada 2010 apabila dibeli oleh Blackburn Rovers. Kali ini, pada usia 22 tahun, Goulon berkata dia sudah matang untuk mengharungi cabaran di EPL. Tapi, ternyata sekali lagi pemain itu kecewa apabila selepas semusim, dia dipinjamkan kepada kelab kurang ternama, Doncaster Rovers.

Kekecewaan itu menyebabkan Goulon membawa diri ke beberapa negara seperti Cyprus, Romania dan Poland demi kelangsungan kariernya.

Kini, pada usia 30 tahun, Goulon mungkin sudah melupakan cita-citanya untuk bergelar bintang EPL namun akan menjadi bintang di Liga M.