Lelaki ugut tumbuk Mufti Perlis ditahan

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, penahanan suspek dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

Suspek ugut tumbuk Mufti Perlis ditahan di Gelugor, Pulau Pinang tengah malam tadi.

KANGAR – Polis berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki mengugut menumbuk Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin menerusi kiriman mesej daripada pengguna akaun Facebook bernama Sandev Sandev.

Kosmo! Online melaporkan, Lelaki berusia 36 tahun yang bekerja sebagai kerani itu ditahan di rumahnya di Gelugor, Pulau Pinang kira-kira pukul 12.30 tengah malam tadi.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. berkata, penahanan suspek dilakukan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

“Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kosmo! Online semalam melaporkan Mufti Perlis itu membuat laporan polis selepas diugut untuk dicederakan menerusi kiriman mesej daripada pengguna akaun Facebook bernama Sandev Sandev pada Rabu lalu.

Mesej berbaur ugutan tersebut diterima ketika beliau berada di rumahnya di Padang Besar dekat sini kira-kira pukul 6 petang. – K! ONLINE