Tuak kurma beri rezeki berganda

Mohd Zin Mohamed, 59, berkata, usahanya yang dimulakan hanya sekadar hobi itu kini membuahkan hasil berupa tuak atau nira yang mempunyai rasa lazat lebih lemak dan manis.

KOTA BHARU – Menjelang Ramadan Isnin ini memberi rezeki berganda kepada seorang pengusaha kebun kurma di Kampung Teras, Binjai di sini apabila tuak yang dihasilkan dari pohon itu mendapat tempat di hati pelanggan.

Sinar Harian melaporkan, Mohd Zin Mohamed, 59, berkata, usahanya yang dimulakan hanya sekadar hobi itu kini membuahkan hasil berupa tuak atau nira yang mempunyai rasa lazat lebih lemak dan manis.

Katanya, usaha menanam pohon kurma itu hanya dilakukan dengan tujuan suka-suka sahaja dan cubaanya untuk mengeluarkan air dari batang pohon itu juga tidak sangka-sangka ‘menjadi’ serta mendapat sambutan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, air tuak dari pohon kurma ini mula mendapat permintaan yang sangat menggalakkan hingga tidak menang tangan daripada pelanggan yang mahukan air tuak.

“Saya bersyukur dan gembira dengan penerimaan pelanggan dan saya juga memperbaiki kaedah untuk mendapatkan air nira ini dari batang pokok palma tersebut supaya lebih ramai yang dapat menikmati kelazatannya,” katanya.

Tahun lalu, Sinar Harian pernah menyiarkan percubaan Mohd Zin menanam pohon kurma yang pada mulanya menerima kecaman hingga ada yang mengatakan dia tidak waras.

Kini, usaha Mohd Zin itu boleh dibanggakan apabila pohon yang ditanam bukan sahaja tumbuh subur, malah mengeluarkan buah kurma serta menghasilkan tuak yang sangat lazat.

Menurutnya, berbeza dari nira kelapa yang diperolehi dari mayang kelapa atau mayang enau yang disadap, tuak kurma pula dikeluarkan dari batang pohon kurma dan memerlukan kira-kira 24 jam bagi mendapatkan 1.5 liter air tuak kurma.