TMJ: Sumbangan Sultan Johor tak pula dihebohkan

Dalam satu hantaran di Twitter, Tunku Ismail bertanya jumlah tanah Sultan Johor telah kurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain yang menurutnya tidak dihebohkan.

Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim tampil mempertahankan bapanya, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Malaysiakini melaporkan, Dalam satu hantaran di Twitter, Tunku Ismail bertanya jumlah tanah Sultan Johor telah kurniakan untuk rakyat dan kebaikan lain yang menurutnya tidak dihebohkan.

“Berapa banyak tanah tanah Sultan Johor yang di beri kepada rakyat dan kerajaan sejak dulu hingga ke hari ini? Berjuta duit kurniaan kepada kerajaan? Sultan Johor selesaikan hutang kerajaan masa tahun kedua jadi Sultan. Berapa juta ke yayasan-yayasan? Benda baik tidak di kongsi.

“Contoh rumah mampu milik Johor di Bandar Dato Onn dan Mersing, kedua-duanya tanah ini dikurniakan oleh Tuanku. 

“Dibina oleh Tuanku. Tanah masjid, kuil dan tokong yang dikurnia. Orang naik haji? Beribu dikurnia dan bantu oleh Tuanku. Sumbangan-sumbangan ke hospital. No news (tiada berita),” katanya melalui dua ciapan berasingan di Twitternya.

Kenyataan itu hadir selepas media melaporkan berhubung isu sebidang tanah di Bukit Chagar yang direncanakan bagi tujuan projek Sistem Transit Aliran Johor-Singapura (RTS) dikatakan ditukar milik atas nama Sultan Johor.

Susulan itu, setiausaha sulit Sultan Johor hari ini tampil memaklumkan bahawa Sultan Ibrahim tidak pernah dimaklumkan berhubung perkara itu dan baginda bersedia menyerahkan tanah berkenaan kepada kerajaan tanpa sebarang kos.