‘Tolonglah Tun, Saya Merayu..’ – Nurul Hidayah Rayu Beri Peluang Bapa Tunai Umrah Ramadan Ini

Dalam pemahaman saya, tiada keperluan mendesak dan tiada kewajipan bagi pemohon (Ahmad Zahid) untuk mengerjakan umrah.

Berhadapan dengan 47 pertuduhan pecah amanah, pengubahan wang haram dan rasuah, Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk mendapatkan semula passportnya untuk mengerjakan umrah pada 10 akhir Ramadan nanti.

‘Tiada kewajipan bagi pemohon..’

Menerusi laporan Malaysia Kini, Hakim Collon Lawrence Sequerah berkata walaupun mengerjakan umrah sangat digalakkan semasa bulan Ramadan namun ia bukanlah sesuatu yang ‘wajib’.

Dalam pemahaman saya, tiada keperluan mendesak dan tiada kewajipan bagi pemohon (Ahmad Zahid) untuk mengerjakan umrah.

Sungguhpun pemohon telah mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas, keadaan yang berlaku sekarang sangat berbeza memandangkan beliau kini menghadapi pertuduhan yang pelbagai dan serius. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini.

‘Tolonglah benarkan Abah saya..’

Berikutan keputusan itu, anaknya, Datuk Nurul Hidayah Ahmad Zahid menerusi Instagramnya telah merayu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad supaya membenarkan bapanya menunaikan umrah pada bulan Ramadan ini.

Menurutnya, bapanya itu sudah kebiasaan menunaikan umrah pada 10 Ramadan terakhir sejak 30 tahun lalu dan tidak akan melarikan diri. Dia juga meminta pihak polis mengawal dan memerhatikan jika tidak mempercayai bapanya itu.

Selain itu, Datuk Nurul Hidayah juga meminta kepada sesiapa yang mengetahui bagaimana untuk berhubung dengan Tun M boleh meninggalkan pesanan mesej di akaun Instagramnya. Dia juga meminta sahabat serta kenalan yang mengenali dirinya dan keluarga secara rapat satu ketika dahulu untuk bantu usulkan permintaannya itu kepada Tun M.