Rumah rosak teruk dihempap pokok macang

Menurut Mohamad Juraidi, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang dan ketika itu dia dan abangnya berada di dalam rumah.

Kediaman Juraidi dan abangnya yang rosak teruk akibat dihempap pokok macang dalam kejadian ribut semalam. (Gambar kecil: Mohamad Juraidi Abdul Ghani)

TANAH MERAH – Sebuah rumah rosak teruk akibat dihempap pokok macang dalam kejadian ribut di Padang Siam, di sini, petang semalam.

Sinar Harian melaporkan, Rumah tersebut didiami dua beradik, Mohamad Juraidi Abdul Ghani, 37, dan Hisham Abdul Ghani, 40.

Menurut Mohamad Juraidi, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang dan ketika itu dia dan abangnya berada di dalam rumah.

“Kami terkejut dengar bunyi macam letupan kuat dari atas zink. Saya jenguk dari tingkap bawah dan nampak angin macam puting beliung dari atas bumbung. Habis zink rumah terbang.

“Kami tak dapat buat apa-apa dan hanya mampu tengok angin kuat kira-kira 10 hingga 15 minit yang berlaku begitu pantas,” katanya.

Mohamad Juraidi berkata, mujurlah ketika kejadian tiada sebarang kecederaan yang berlaku, walaupun pokok macang turut tumbang dalam kejadian itu dan menghempap sebahagian rumah mereka.

“Saya dan abang tinggal dalam rumah ini sejak lebih 30 tahun lalu.

“Lagipun kami tak ada kediaman lain. Inilah kediaman peninggalan keluarga selepas ibu dan ayah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mereka yang masih belum berkahwin hanya bekerja sebagai buruh kasar dan memperolehi pendapatan yang tidak seberapa.

“Kami hanya dua beradik saja dan harap adalah yang sudi membantu. Buat masa ini kami terpaksa gunakan bahagian dapur sebab kediaman rosak teruk,” katanya.

Bagi yang ingin menghulurkan bantuan boleh salurkan kepada pihak berkenaan melalui nombor talian 019-9252555.