Tuah nama Alhamdulillah

Biarpun nama yang unik sering menjadi perhatian malah bahan gurauan sesetengah orang namun beliau tidak pernah kecil hati jauh sekali timbul perasaan marah.

MENJADI popular dan dikenali umum sejak dari bangku sekolah, adalah perkara biasa bagi bapa kepada empat anak bernama Wan Alhamdulillah Wan Abdul Rahman, 43.

Ini disebabkan oleh keunikan namanya yang diambil sempena perkataan Bahasa Arab dengan maksud yang indah iaitu segala puji bagi Allah.

Wan Alhamdulillah menganggap nama itu mempengaruhi hidupnya sehingga hari ini.

“Nama yang baik akan memberi manfaat dan mempengaruh diri kita ke arah kebaikan. Saya bersyukur kerana ibu bapa saya memberikan nama yang baik, menyebabkan orang memanggil saya dengan maksud yang baik.

“Kalau dilihat dengan apa yang saya terima dan lalui dalam hidup kerana nama ini pun saya berasa amat bersyukur. Banyak nikmat yang Allah kurniakan, perniagaan saya juga semakin berkembang dan maju,” katanya.

Wan Alhamdulillah merupakan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Pahang dan pemilik sebuah syarikat teknologi maklumat.

Anak pun popular

“Sekarang ini anak saya pula menerima tempias akan nama unik saya ini apabila seringkali menjadi perhatian guru dan bertanya berkali-kali bagi memastikan nama itu benar atau tidak.

“Anak saya mudah dikenali dan diingati para guru. Saya kira itu sesuatu yang baik untuk mereka,” katanya.

Biarpun nama yang unik sering menjadi perhatian malah bahan gurauan sesetengah orang namun beliau tidak pernah kecil hati jauh sekali timbul perasaan marah.

Katanya, tidak perlu wujud perasaan malu sebaliknya berbangga memiliki nama seunik itu kerana maksudnya sangat baik dan menjadi zikir pula bagi orang lain yang menyebutnya.

Tiada masalah membawa nama tersebut hanya, setiap kali memperkenalkan diri, beliau perlu mengulangnya sekali lagi kerana ada yang tidak percaya dan menganggapnya hanya berseloroh.

“Ya, memang ini nama saya. Pelbagai reaksi yang saya terima sejak daripada kecil. Ada yang ketawa, ada yang tidak percaya malah ada juga yang menganggap saya bergurau, saya sudah biasa dengan keadaan itu.

“Namun, keunikan nama itulah menyebabkan orang lebih mudah ingat dan kenal saya sehingga hari ini,” kata anak ketujuh daripada 11 beradik ini.

Asal usul

Mengimbau kenanga namanya, Wan Alhamdulillah berkata, namanya itu diberikan oleh seorang ustaz yang merawat ibunya, Mastamah Wartee, 72, ketika mengandungkannya.

“Ketika itu, ibu mengandungkan saya tujuh bulan, beliau terjatuh dari bas. Risau akan keadaan saya di dalam kandungan, arwah bapa membawa ibu berjumpa seorang ustaz.

“Mujur kandungan ibu tidak mengalami masalah dan ustaz berkenaan ada berpesan kepada ayah supaya memberikan nama yang baik-baik.

“Ayah kemudian meminta ustaz itu memberikan satu nama dan beliau meletakkan nama “Alhamdulillah”, daripada situlah tercetusnya nama saya ini,” katanya.

Wan Alhamdulilah berkata, di kalangan keluarganya dia dipanggil dengan nama Lah manakala kebanyakan rakan-rakannya memanggil Wan.

Kalangan keluarganya, hanya dia sahaja yang mempunyai nama unik sebegitu manakala adik beradiknya memiliki nama yang biasa didengari.