Peluang beri amaran kepada PH

Umno Sabah menyifatkan pilihan raya kecil (PRK) Sandakan sebagai peluang yang dikurniakan Allah kepada pengundi bagi memberi amaran kepada kerajaan PH yang dikatakan memungkiri janji manifesto pilihan raya.

Menurut laporan Malaysiakini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Abdul Rahman Dahlan berkata, peluang itu tidak dinikmati oleh pengundi lain di Sabah ketika ini.

“Hari ini, landasan kita adalah untuk memenangkan calon PBS yang melawan calon DAP. Kita mahu tuan-tuan dan puan-puan di luar sana, tuan-tuan mempunyai satu keajaiban, peluang yang cukup besar.

“Allah memberikan peluang kepada (pengundi) Sandakan, satu peluang besar yang tidak ada di Tuaran, Kota Belud, Tenom, Putatan atau Kinabatangan.

“Tuan-tuan telah dipilih oleh Allah yang telah bagi peluang kepada semua pengundi Sandakan untuk memberi amaran dan peringatan keras kepada kerajaan supaya tidak menipu dan ‘mengencingkan’ lagi rakyat Malaysia,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian di hadapan kira-kira 100 hadirin ceramah kelompok di Jambatan 3, Kampung Sim-Sim Sandakan, semalam.

Abdul Rahman juga meminta pengundi dari kalangan yang masih menyokong PH sebagai kerajaan pusat tidak risau untuk mengundi calon PBS Linda Tsen kerana menurutnya keputusan PRK itu tidak akan mengubahkan tampuk pemerintahan.

“Ini peluang kita. Pada orang-orang yang sayang sedikit PH, jangan khuatir, jangan risau. Kerajaan tidak berubah.

“Tapi yang kita mahu adalah calon PBS mewakili calon pembangkang berada di parlimen untuk memperbetulkan keadaan dan memberi suara kepada rakyat Sandakan,” katanya.

Bekas ahli parlimen Kota Belud itu juga menyeru pengundi bumiputera Sabah terutama diKampung Sim-Sim untuk menolak DAP.

Peluang kedua tolak DAP

Kenyataan Abdul Rahman turut disokong oleh Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin yang menyifatkan PRK kali ini sebagai peluang kedua untuk pengundi Sandakan umenolak DAP.

“Pada 11 Mei, kalau mahu kita sama-sama berubah, inilah masanya orang Sabah mengubah masa depan kita.

“Tuan-tuan dan puan-puan, saya setuju dengan rakan saya (Abdul) Rahman bahawa orang Sandakan diberi pilihan kedua, kalau tidak diambil peluang kedua, tuan-tuan dan puan-puan tidak akan ada peluang ketiga lagi.

“Inilah masanya, inilah peluang. Kita ambil dan jatuhkan roket,” kata ahli parlimen Kinabatangan itu disambut sorakan hadirin.

Sementera itu, Abdul Rahman membidas Menteri Kewangan Lim Guan Eng yang disifatkannya sebagai mengambil nama atas projek peluasan landasan lapangan terbang Sandakan.

Jelas Abdul Rahman, projek itu telah diluluskan oleh kerajaan BN terdahulu.

“Cadangan untuk memperbesar lapangan terbang Sandakan ini dibuat semasa bekas ketua menteri Sabah Musa Aman berjumpa dengan Perdana Menteri Najib Razak pada masa itu untuk meminta bantuan kerajaan persekutuan.

“Sewaktu saya menjadi Menteri Unit Perancang Ekonomi, peruntukan yang telah disebut oleh Lim telah diluluskan oleh kami (BN).

“Projek ini belum bermula lagi kerana projek tidak berjalan, masalah tender dan tidak mencapai tahap implementasi. Tindakan Lim yang mengambil kredit untuk PH ini adalah salah. Ini bukan idea dia, ini idea kita,” katanya.

PRK Sandakan akan menyaksikan pertembungan antara calon DAP Vivian Wong, calon PBS Linda Tsen, tiga calon bebas iaitu Hamzah Abdullah, Sulaiman Abdul Samat and Chia Siew Yung.

Hari mengundi ditetapkan pada 11 Mei.