Jumpa bayi dalam mesin basuh

Pemilik kedai, Sangduen Khaorueng, 47, menyatakan dia terdengar bunyi seorang bayi menangis dan menyangka bunyi berkenaan datangnya daripada rumah jiran.

Seorang wanita mendukung bayi lelaki yang dianggarkan berusia lima hari di Krabi, Thailand

KRABI, Thailand – Seorang bayi lelaki yang dianggarkan berusia lima hari ditemui dalam mesin basuh di hadapan sebuah kedai di sini baru-baru ini, demikian menurut laporan akhbar Daily Mail.

Kosmo Online melaporkan, Pemilik kedai, Sangduen Khaorueng, 47, menyatakan dia terdengar bunyi seorang bayi menangis dan menyangka bunyi berkenaan datangnya daripada rumah jiran.

Dia kemudiannya tergamam selepas mendapati bunyi tangisan itu datangnya dari dalam sebuah mesin basuh. Wanita itu menemui seorang bayi yang masih bertali pusat dan dibalut menggunakan tuala.

Sangduen segera menghubungi pihak polis dan paramedik yang kemudiannya bergegas ke lokasi kejadian untuk memeriksa bayi tersebut.

“Kami percaya bayi ini berusia lima hari. Dia berada dalam keadaan fizikal yang baik, namun sangat lapar. Bayi itu kini dirawat di sebuah hospital.

“Kami akan memeriksa kamera rakaman berhampiran untuk mencari ibunya. Jika ibunya gagal ditemui, bayi ini akan diserahkan kepada rumah anak yatim untuk dijadikan anak angkat,” kata pegawai polis Krabi, Leftenan Sanya Kaewnui. – Agensi