Wanita jatuh bangunan semasa rakam swafoto

Reilly Hamilton dipercayai menghadiri sebuah parti di bumbung bangunan pangsapurinya sebelum kejadian berlaku.

Imej kawasan belakang bangunan pangsapuri yang merupakan tempat mangsa terjatuh di Kips Bay, New York.

NEW YORK – Seorang wanita dirawat di hospital dalam keadaan kritikal kelmarin selepas terjatuh dari bumbung bangunan pangsapuri lima tingkat di Kips Bay, dekat sini semasa merakam gambar bersama rakan-rakannya, kata polis.

Akhbar New York, Daily News melaporkan kelmarin bahawa mangsa, Reilly Hamilton dipercayai menghadiri sebuah parti di bumbung bangunan pangsapurinya sebelum kejadian berlaku.

Reilly

Beberapa pegawai berkata, Reilly, 22, terjatuh dari bangunan itu sekitar pukul 8 malam (waktu tempatan) pada Sabtu lepas.

“Dia mendarat di atas simen di ruang sempit di belakang bangunan ini,” kata jirannya, Dayo Adebanjo.

“Saya dengar bunyi benda terhempas dan jeritan dari atas bangunan. Saya menyangka seseorang telah terjatuh tetapi sukar mempercayainya,” kata pemuda berumur 22 tahun itu.

Wanita itu dibawa ke Hospital Bellevue dan disahkan mengalami patah tulang paha, pergelangan kaki kanan dan tangan kanan. Mangsa berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil setakat kelmarin. – Agensi.