Buruh masuk lokap semula selepas tumbuk isteri

Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok berkata, lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun dilepaskan atas jaminan polis tengah hari semalam atas faktor kesihatan.

KUALA PILAH – Seorang buruh yang baru sahaja dilepaskan atas kesalahan dadah, sekali lagi ditahan kerana menumbuk muka isterinya sehingga patah tulang hidung dan lebam bahagian mata kiri pada Selasa lalu.

Sinar Harian melaporkan, Ketua Polis daerah Kuala Pilah, Superintenden Haslah Bachok berkata, lelaki berusia 40 tahun itu bagaimanapun dilepaskan atas jaminan polis tengah hari semalam atas faktor kesihatan.

Katanya, suspek dimasukkan ke wad di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah kerana mengadu sakit di bahagian dada.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek telah menumbuk isterinya yang berusia 33 tahun di kediaman mereka di Teraci, Selasa lalu, kira-kira jam 4 petang selepas berlaku perselisihan faham.

“Akibat kejadian itu, isteri mangsa tidak sedarkan diri dan di bawa HTAN. Mangsa mengalami patah tulang hidung serta lebam di bahagian mata sebelah kiri,” katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Haslah berkata, suspek ditahan pada hari sama dan mendakwa telah menumbuk isterinya kerana sering membantah dan melawan cakapnya.

“Suspek sebelum ini ditahan lokap atas kesalahan dadah di bawah Seksyen15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dilepaskan pada hari kejadian (Selasa) bagaimana pun ditahan semula pada hari sama kerana menumbuk isterinya,” katanya.Haslah berkata, walaupun suspek dilepaskan atas jaminan polis kerana masalah kesihatan, namun suspek masih dalam siasatan polis di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.