Parti ‘Umno lama’ muncul kembali

Presiden penaja parti itu berkata pihaknya menggunakan perlembagaan Umno lama kerana ia sesuai dengan matlamat penubuhan parti itu.

Perlembagaan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) adalah berasaskan kepada Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946, kata Ibrahim Ali.

Presiden penaja parti itu berkata pihaknya menggunakan perlembagaan Umno lama kerana ia sesuai dengan matlamat penubuhan parti itu.

“Kira-kira 95 peratus perlembagaan Putra adalah berasaskan perlembagaan Umno lama yang ditubuhkan pada tahun 1946.

“Perlembagaan Umno lama amat praktikal dan sesuai dengan perjuangan parti yang baru diluluskan penubuhannya itu,” katanya ketika sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) meluluskan parti yang diilhamkan oleh presiden kumpulan pendesak Melayu Perkasa.

Penubuhan parti baru itu diluluskan mengikut akta Akta Pertubuhan 1966 Peraturan-Peraturan Pertubuhan 1984.

Pada 17 Ogos tahun lalu, Ibrahim mengumumkan penubuhan parti Putra sebagai alternatif kepada orang Melayu pasca pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Sementara itu, Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad; Menteri Dalam Negeri,Muhyiddin Mohd Yassin dan Ketua Pengarah (ROS), Masyati Abang Ibrahim kerana meluluskan pendaftaran parti itu.

Tambah Ibrahim, borang keahlian Putra akam mula dieadarkan pada 22 Mei nanti.

“Keahlilan Putra terbuka kepada semua kaum bumiputera dan borang keahlian akan diedarkan pada 22 Mei ini sempena mesyuarat penaja kali pertama parti itu.

“Selepas itu borang keahlian akan diedarkan ke seluruh negara, dengan konsep parti menubuhkan cawangan mengikut jumlah Pusat Daerah Mengundi (PDM),” katanya.

Menurut Ibrahim, pada peringkat awal ini, kepimpinan Putra mempunyai 15 ahli jawatankuasa iaitu beliau selaku presiden penaja, Khalid Yunus (timbalan presiden), Dr Nor Asmah Mohd Razali (ketua Wirawati), Norhafizah Jamaluddin (naib ketua Wirawati), Nasrul Ali Hasan Abdul Latif (ketua Wira).

Setiausaha Agung penaja Putra pula ialah Arshad Aliman dan Ketua Penerangan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.