Ganja pilihan selebriti tempatan

“Keperluan untuk bekerja dalam masa yang panjang dan tidak menentu ketika di set penggambaran juga menjadi faktor mereka terbabit dalam gejala itu,” katanya.

KUALA LUMPUR: Dadah jenis ganja paling menjadi pilihan kebanyakan selebriti tempatan atau dalam erti kata lain banyak digunakan mereka selain heroin, kokain, ekstasi, LSD, candu, ais, ketum, syabu dan five.

Menurut laporan Harian Metro, Maklumat itu diperoleh berdasarkan Laporan kajian hasil usahasama Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Multimedia University (MMU) kampus Cyberjaya yang bertajuk Ketagihan dan Penyalahgunaan Dadah di Kalangan Selebriti Tempatan: Kajian terhadap Industri Filem, Televisyen dan Muzik .

Presiden Seniman, Zed Zaidi berkata, beliau salah seorang penyelidik yang terbabit dalam kajian yang diketuai Presiden MMU, Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.

Turut sama dalam kajian berkenaan adalah empat penyelidik lain iaitu Prof Dr Murali Raman, Dr Abdul Aziz Ahmad, Dr Aliza Akmar Omar dan Dr Azman Bidin.

Zed berkata, kajian itu mengambil masa lebih sembilan bulan untuk disiapkan bermula Oktober 2015 hingga Jun 2016 dan dibiayai oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Katanya, objektif kajian bagi mengetahui tahap dan faktor penyalahgunaan dadah dalam kalangan selebriti, mengumpul statistik berdasarkan kategori seterusnya membantu AADK membangunkan langkah serta dasar bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

“Terdapat kajian dijalankan mengenai penyalahgunaan dadah di negara ini, tetapi hanya menjurus kepada isu am yakni tiada yang berkaitan dengan kegiatan membabitkan selebriti tempatan.

“Justeru, kajian ini dilaksanakan bagi meningkatkan kadar penyelidikan terhadap isu ketagihan dan penyalahgunaan dadah memandangkan selebriti adalah golongan berpengaruh jadi kelakuan mereka memberi kesan secara tidak langsung kepada masyarakat khususnya remaja dan belia.

“Data kajian ini dikumpulkan menerusi kaedah campuran dalam dua fasa iaitu kuantitatif dan kualitatif membabitkan artis yang menjalani penggambaran serta persembahan di sekitar Lembah Klang saja,” katanya yang juga Pengerusi AADK Dang Wangi Wilayah Persekutuan.

Zed berkata, berdasarkan 766 kaji selidik yang dijalankan, hanya 18 responden saja menjawab mereka pernah menggunakan dadah.

Katanya, dapatan itu juga menunjukkan 67 peratus daripadanya berumur 35 tahun ke bawah manakala 72 peratus hanya terbabit dalam industri seni kurang dari 10 tahun.

“Bilangan lelaki lebih ramai iaitu 12 berbanding enam wanita dan selain pengaruh rakan, keinginan sendiri untuk mencuba, tekanan daripada isu peribadi dan mahu keseronokan antara sebab utama mereka mengambil dadah.

“Faktor lain yang mendorong mereka pula berkait rapat dengan kerja mereka yang mana kebanyakannya pelakon ditemubual mempunyai perasaan malu dan hanya boleh bekerja apabila mengambil dadah.

“Dalam erti kata lain, mereka menjadikan dadah sebagai alternatif yang membantu menghilangkan rasa gugup dan meningkatkan keyakinan diri ketika membuat persembahan, menjiwai watak serta mendapat idea baru.

“Keperluan untuk bekerja dalam masa yang panjang dan tidak menentu ketika di set penggambaran juga menjadi faktor mereka terbabit dalam gejala itu,” katanya.

Menurut Zed, kajian berkenaan turut menghuraikan kesan positif, negatif dan neutral daripada pengambilan dadah berdasarkan temubual dijalankan bersama responden.

“Hampir separuh daripada jawapan responden menyatakan bahawa penggunaan dadah memberi kesan kepada emosi namun kesannya adalah berbeza bergantung kepada individu.

“Senario terburuk apabila dadah itu sendiri mengawal tingkah laku dan gerak geri mereka dalam melakukan sesuatu perkara sehingga berhalusinasi, perubahan emosi drastik yang mendorong bertindak agresif serta kecenderungan mengambil risiko termasuk sekiranya dicabar melakukan jenayah.

“Lebih membimbangkan, penggunaan dadah dikaitkan dengan kebolehan menjana lebih banyak wang kerana dapat menghasilkan karya lebih berkualiti dan ada juga responden menyatakan kesan bahan terlarang itu neutral yakni tidak menjejaskan kerja mereka,” katanya.