Penyu menangis di Kuantan

Pemain lincah, Faisal Abdul Halim, memulakan kebangkitan Pahang dengan gol seawal minit ketujuh menerusi tolakan mudah selepas percubaan Mohamadou Sumareh gagal ditangkap kemas Mohd Suffian Rahman.

Foto - Pahang FA

Dua jaringan Dickson Nwakaeme membantu Pahang melangkah ke separuh akhir Piala FA selepas mengalahkan Terengganu FC (TFC) 4-0 di Kuantan, malam ini, sekali gus mara dengan agregat 5-2.

Menurut laporan Stadium Astro, Pemain lincah, Faisal Abdul Halim, memulakan kebangkitan Pahang dengan gol seawal minit ketujuh menerusi tolakan mudah selepas percubaan Mohamadou Sumareh gagal ditangkap kemas Mohd Suffian Rahman.

Pahang seperti yang dijangka terus mengasak kubu pelawat yang menyaksikan percubaan Faisal (m-17) hasil gerakan satu dua dengan Nwakaeme tersasar ke sebelah tepi.

Seminit kemudian, Faisal sekali lagi mencemaskan kubu TFC dengan larian solo dari sebelah kanan untuk masuk ke dalam kotak penalti, namun sepakannya ditepis keluar Suffian.

Bekas pemain TFC, Norshahrul Idlan Talaha, kemudian menggegarkan palang gol dengan rembatan lencong pada minit ke-31 sebelum tandukan Nwakaeme melambung tinggi.

Kem tuan rumah hampir diceriakan Sumareh, malangnya sepakan kencang pemain naturalisasi negara itu ditepis keluar Suffian pada minit ke-36.

Suffian, begitupun, melakukan kesilapan selepas menjatuhkan Nwakaeme untuk penyerang Nigeria itu mudah menjaringkan sepakan penalti pada minit ke-48.

TFC hanya berupaya menguji Helmi Eliza Elias melalui Lee Tuck (m-55) dan tandukan Kipre Tchetche (m-59) yang mudah ditangkap kemas penjaga gol itu.

Pintu gol TFC bocor lagi pada minit ke-63 menerusi Nwakaeme yang tenang menyudahkan hantaran pendek Norshahrul untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Sumareh (m-74) melengkapkan malam Pahang dengan gol keempat selepas menghukum kelekaan Nasrullah Haniff Johan untuk memastikan kemenangan tuan rumah.