Anak pengasuh ditahan selepas rogol kanak-kanak berusia 5 tahun

“Ibu mangsa bagaimanapun menyedari anaknya dirogol suspek berusia 16 tahun itu selepas dia menceritakan mengenai kejadian tersebut pada Khamis lalu.

IPOH – Seorang remaja lelaki ditahan kelmarin selepas dipercayai terlibat dalam satu kes rogol seorang kanak-kanak berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Lapangan Jaya di sini minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mazuki Mat berkata, mangsa yang telah diasuh ibu suspek sejak dia berumur dua tahun lagi itu pernah memberitahu ibunya dia rasa sakit di kemaluan pada Isnin lalu namun ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa.

“Ibu mangsa bagaimanapun menyedari anaknya dirogol suspek berusia 16 tahun itu selepas dia menceritakan mengenai kejadian tersebut pada Khamis lalu.

“Mangsa mendakwa suspek yang merupakan anak pengasuh itu telah membuka bajunya selain mengarahkan menghisap kemaluan lelaki itu dan kemudian merogolnya sehingga menyebabkan kemaluan mangsa sakit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Mazuki, ibu mangsa tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat kelmarin.

“Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan terdapat pendarahan dan kesan koyakan pada kemaluan mangsa berpunca daripada kemasukan objek tumpul.

“Suspek yang tidak bersekolah itu ditahan di rumahnya kelmarin dan dia kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol. – K! ONLINE