Tiga lelaki didakwa curi rel besi keluli keretapi

Pertuduhan seterusnya menyaksikan Sangkar didakwa dengan sengaja menjual 82 batang rel besi keluli berkenaan kepada sebuah syarikat kejuruteraan di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, walaupun tahu ia adalah harta curi.

KULAI – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan curi rel keluli keretapi Projek Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan set janakuasa milik sebuah pusat beli belah di negeri ini pada Mac dan April lalu.

Tertuduh, C Brabakaran, 26; D Mohan, 28 dan A Sangkar, 34, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan bersama oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Mengikut pertuduhan pertama, Brabakaran dan Mohan didakwa mencuri 82 batang rel besi keluli jenis H dan I-Beam berukuran antara dua hingga 12 meter yang berjumlah RM216,535.20 di tapak pembinaan KTMB di Kampung Pasir, Senai.

Kedua-dua mereka yang merupakan pekerja kilang dituduh melakukannya kesalahan itu antara jam 7 petang hingga 12.01 tengah malam pada 24 dan 25 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan seterusnya menyaksikan Sangkar didakwa dengan sengaja menjual 82 batang rel besi keluli berkenaan kepada sebuah syarikat kejuruteraan di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, walaupun tahu ia adalah harta curi.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Pasir Putih pada jam 3.30 petang, 3 April lalu yang mana pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

Selain itu, Brabakaran turut didakwa mencuri tiga set janakuasa milik Johor Premium Outlet (JPO) yang bernilai RM481,000 di tempat letak kereta pusat beli belah berkenaan kira-kira jam 3.30 petang, 16 hingga 23 Mac lalu.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan pilihan iaitu memiliki harta curi iaitu tiga janakuasa berkenaan di Kawasan Perindustrian Simpang Renggam, Kluang, kira-kira jam 2.30 pagi pada 4 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan selain Seksyen 411 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret memerintah ketiga-tiga tertuduh dijamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 27 Mei depan bagi pengurusan dokumen.

Kes dikendalikan Pengawai Pendakwa, Zamrizal Mohamad manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Nurul Syadatul Nadia Tokiran.