Tikam imam kerana bacaan al-quran menganggu tidur

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu mangsa yang merupakan imam di sebuah surau di Kerteh, Kemaman sedang membaca al-Quran di ruang solat masjid tersebut selepas solat subuh.

BESUT- Seorang imam cedera selepas ditikam seorang lelaki yang mendakwa tidurnya terganggu akibat mangsa membaca al-Quran menggunakan pembesar suara dalam kejadian di Masjid Kampung Apal dekat Jabi di sini pagi tadi.

Menurut laporan Sinar Harian, Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi itu, mangsa berusia 37 tahun cedera di bahagian kiri dada akibat tikaman tersebut.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, sebelum itu mangsa yang merupakan imam di sebuah surau di Kerteh, Kemaman sedang membaca al-Quran di ruang solat masjid tersebut selepas solat subuh.

Menurutnya, tiba-tiba datang seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang mangsa kemudian bertindak menikam dada mangsa menggunakan objek tajam lalu melarikan diri.

“Ketika kejadian terdapat dua jemaah lain sedang berehat di ruang belakang masjid dan memberi bantuan kepada mangsa selepas menyedari mangsa ditikam lelaki itu.

“Mangsa yang cedera dikejarkan ke Unit Kecemasan, Hospital Besut dan dirawat sebagai pesakit luar selepas menerima tujuh jahitan akibat luka di dadanya,” katanya

Mohd Zamri berkata, mangsa pulang ke kampung tersebut untuk menguruskan jenazah bapanya yang meninggal dunia kelmarin.

Menurutnya, susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Jerteh, polis telah menahan suspek berusia 23 tahun ditahan tidak lama kemudian selain turut merampas pisau dipercayai yang digunakan untuk menyerang mangsa.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku menikam imam tersebut menggunakan sebilah pisau kerana tidak berpuas hati apabila mangsa membaca al-Quran menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu tidurnya.

“Kedudukan rumah suspek dengan masjid tersebut terletak kira-kira 100 meter,” katanya.

Tambah Mohd Zamri, suspek yang positif methamphetamine turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes mencederakan orang dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, suspek kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.