‘Cemburu’ teman meninggal dunia ketika laung azan

Allahyarham Amirul Najmie,21, dilaporkan rebah semasa mengalunkan azan kedua solat Jumaat, minggu lalu.

Oleh: Nor Khalilah G Hassan

“Selamat pulang wahai teman. Rehatlah, sungguh kami cemburu dengan cara Allah mengambilmu”

Demikian coretan seorang pemuda menerusi akaun Facebook dikenali sebagai Muhammad Izzan mengenai sahabatnya yang meninggal dunia ketika melaungkan azan, menjadi tular di media sosial.

Muhammad Izzan Idris, 24, ketika dihubungi berkata, teman rapatnya Allahyarham Amirul Najmie,21, dilaporkan rebah semasa mengalunkan azan kedua solat Jumaat, minggu lalu.

Mereka berdua merupakan penuntut Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (Kuipsas) dan sedang mengambil cuti kampus.

“Saya menuntut Ijazah Sarjana Muda Syariah Kuipsas manakala arwah Amirul Najmie merupakan pelajar Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan di semester lima pengajiannya. Dia juga sering menjadi bilal pelatih di masjid Kuipsas dan kampung halamannya.

“Sudah semestinya para jemaah menjadi saksi Amirul Najmie kembali kepada Allah S.W.T pada hari yang mulia itu,” katanya

Muhammad Izzan berkata, beliau merupakan teman rapat arwah dan mereka berkawan sejak tiga tahun lalu.

Baginya arwah seorang yang banyak membantu orang, ceria dan mudah didekati.

“Arwah seorang yang sangat meminati bacaan Al-Quran, sehinggakan bila saya mengaji dalam kereta pun, dia pasti akan rakam.

“Dalam kehidupan seharian, dia seorang yang sentiasa gigih dalam apa yang dia lakukan. Saya teringat dia selalu minta saya ajar cara mengeluarkan suara yang betul ketika azan. Sehingga dapat, dia usahakan,” katanya.

Status Muhammad Izzan mendapat 157 perkongsian dengan lebih 900 komen mendoakan allahyarham.