CEO, CFO syarikat swasta direman kes rasuah

    Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini selepas SPRM mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan seorang wanita yang juga merupakan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebuah syarikat swasta selepas disyaki menerima rasuah berkaitan projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta.

    Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari sehingga Khamis ini selepas SPRM mengemukakan permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.

    Menurut sumber, lelaki bergelar Datuk berusia 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 10 malam manakala wanita berusia 53 tahun itu pula ditahan kira-kira pukul 11.50 malam sewaktu hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini semalam.

    Jelasnya, kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu  ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kenderaan perisai jenis AV8 dan Adnan pada tahun 2014 hingga 2017.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

    Menurut beliau, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah kira-kira RM100,000 serta dokumen-dokumen berkaitan projek tersebut.

    “Beberapa saksi juga telah dipanggil hari ini dan kita tidak menolak kemungkinan terdapat lebih ramai lagi akan dipanggil bagi membantu siasatan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – K! ONLINE