Datuk seri, pasangan didenda selepas mengaku khalwat

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit didakwa berkhalwat setelah didapati berkurung dengan pasangannya yang tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram dalam sebuah bilik resort sehingga mendatangkan syak.

Seorang lelaki bergelar Datuk Seri didenda RM2,700 oleh Mahkamah Rendah Syariah Besut, di sini, hari ini selepas dia mengaku bersalah berkhalwat dengan pasangannya berusia 32 tahun.

Sinar Harian melaporkan, Hakim Syarie, Mat Ropi Busu memerintahkan tertuduh, Datuk Seri Riduan Maudin, 40, yang merupakan seorang ahli perniagaan dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sementara itu, pasangannya, Nor Faizah Abu Bakar, 32, pula dikenakan hukuman denda 2,500 atau tiga bulan penjara jika gagal menjelaskan denda yang dikenakan.

Mengikut pertuduhan, pasangan terbabit didakwa berkhalwat setelah didapati berkurung dengan pasangannya yang tidak mempunyai hubungan suami isteri atau mahram dalam sebuah bilik resort sehingga mendatangkan syak.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah resort di Pulau Perhentian di sini, kira-kira jam 5.15 pagi pada 5 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 31(b) Enakman Kesalahan Jenayah Syariah (takzir) 2001 Terengganu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya.