Dr M: Tiada siapa boleh terlepas siasatan polis termasuk PM

Kerajaan masih boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berhubung projek 'land swap' tanah milik Kementerian Pertahanan meski pun perkara itu telah lama berlaku. - Dr Mahathir Mohamad

Tiada siapa yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang dan siasatan polis malahan termasuk dirinya yang memegang jawatan perdana menteri, maklum Dr Mahathir Mohamad.

“Polis pun akan siasat termasuk PM juga, tidak ada siapa yang di bawah undang-undang,” katanya secara umum kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 di Perdana Putra, hari ini.

Terdahulu perdana menteri diminta mengulas mengenai isu projek ‘land swap’ melibatkan tanah Kementerian Pertahanan.

Malaysiakini melaporkan, Dr Mahathir berkata kerajaan masih boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang melakukan kesalahan berhubung projek ‘land swap‘ tanah milik Kementerian Pertahanan meski pun perkara itu telah lama berlaku.

Menurut perdana menteri pihaknya juga tidak teragak-agak untuk membuat laporan berhubung salah guna kuasa itu.

“Ya, kerajaan masih boleh mengambil tindakan dan niat kami untuk membuat laporan mengenai kesalahan yang dilakukan pada masa lalu, sama ada pelaku salah sudah tiada di sini (pencen) atau tidak, tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhir jawatankuasa siasatan Kementerian Pertahanan berhubung projek ‘land swap’ menunjukkan berlakunya “pertimbangan politik melebihi kepentingan kerajaan,” termasuk ketika penggal pertamanya sebagai perdana menteri.

Menurut laporan itu lagi, 13 daripada 16 transaksi pertukaran tanah yang berlaku sejak 1997 menunjukkan terdapat unsur kepentingan politik.

Walaupun tidak menyebutkan nama secara khusus, laporan itu berkata perdana menteri dan menteri pertahanan pada pentadbiran sebelum ini turut terlibat dalam urusan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika sidang akhbar susulan pada hari sama, Menteri Pertahan Mohamad Sabu menafikan penglibatan Mahathir dalam kes-kes berkenaan.

Isu ‘land swap’ ini timbul ditengah-tengah pentadbiran PH berusaha membenteras rasuah dikalangan penjawat awam.