PM jawab Cuepacs, bukan ganggu tapi canggah pendapat

Aduan yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu tidak betul, dan hanya melibatkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menafikan terdapat kakitangan lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.

Malaysiakini melaporkan, Mahathir berkata, aduan yang dibuat Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu tidak betul, dan hanya melibatkan perselisihan faham antara kedua-dua pihak.

“Tidak ada yang mengganggu, kadang-kadang ada percanggahan pendapat, jadi dia tegur.

“Itu bukan mengganggu, cuma perselisihan pendapat,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) kali ke-8 di Putrajaya.

Sebelum itu beliau melancarkan myPortfolio Pandan Kerja Sektor Awam di Bangunan Perdana Putra, hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Cuepacs, Azih Muda yang mendakwa pihaknya masih menerima laporan terdapat staf lantikan politik yang mengganggu tugas penjawat awam.

Dakwanya, sehingga hari ini, Cuepacs masih menerima aduan terdapat pegawai lantikan politik yang mencampuri urusan perkhidmatan awam.

Menurut Azih, jika perkara sedemikian masih berterusan, maka Cuepacs berharap penjawat awam tidak boleh dipersalahkan jika pelaksanaan dasar menjadi lambat.