Pensyarah rugi RM132,000 ditipu ‘Inspektor Yusuf’

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pensyarah wanita berusia 41 tahun tersebut dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai pegawai perundangan dari Mahkamah Majistret Melaka.

KUANTAN – Seorang pensyarah di sebuah unversiti awam dekat sini kerugian RM132,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam dalam satu kejadian semalam.

Kosmo Online melaporkan, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pensyarah wanita berusia 41 tahun tersebut dihubungi individu memperkenalkan diri sebagai pegawai perundangan dari Mahkamah Majistret Melaka.

“Suspek mendakwa pensyarah wanita itu mempunyai tunggakan kad kredit sebanyak RM13,580. Sejurus mangsa menafikan dakwaan itu, talian terus disambungkan kepada seorang lagi suspek yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Yusuf,” kata beliau.

Mohd. Wazir menambah, suspek menyamar polis berkenaan pula mendakwa akaun bank milik pensyarah tersebut disyaki terlibat kegiatan jenayah pengubahan wang haram serta urusan jual beli dadah.

Ujar beliau lagi, mangsa seterusnya diarahkan oleh suspek untuk melakukan transaksi pemindahan wang bagi memudahkan proses ‘siasatan’ yang akan dijalankan.

“Mangsa telah mematuhi semua arahan daripada suspek untuk membantu menyelesaikan kes tersebut dengan melakukan pemindahan semua wang simpanannya ke dalam empat akaun milik individu tidak dikenali,” tambahnya.

Tambah beliau lagi, mangsa hanya menyedari tertipu selepas gagal menghubungi suspek sejurus selesai melakukan transaksi pemindahan wang.

Kes dilaporkan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – K! ONLINE