Mangsa bot terbakar dapat perhatian MB

Mangsa, Mohd Zuraidi Abdullah, 46, dari Merchang menerima bantuan wang tunai berjumlah RM8,000 disampaikan Sulaiman dan Pegawai Pejabat Menteri Besar, Sabri Zakaria.

MARANG – Nasib seorang nelayan yang kehilangan bot dalam kebakaran Mac lalu, mendapat perhatian Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.

Sinar Harian melaporkan, Mangsa, Mohd Zuraidi Abdullah, 46, dari Merchang menerima bantuan wang tunai berjumlah RM8,000 disampaikan Sulaiman dan Pegawai Pejabat Menteri Besar, Sabri Zakaria.

Sulaiman berkata, sumbangan adalah satu daripada tanggungjawab sosial dan sebagai tanda prihatin Menteri Besar dan Pusat Khidmat DUN Pengkalan Berangan kepada rakyat.

“Biarpun masih belum mencukupi untuk menampung jumlah diperlukan iaitu sebanyak RM16,000, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mangsa,” katanya, hari ini.

Sulaiman berkata, pihaknya akan terus membantu mangsa sekiranya terdapat peruntukan tambahan kerana jumlah RM16,000 itu juga tidak termasuk penyediaan peralatan lain termasuk pukat.

Bot milik Mohd Zuraidi dipercayai terbakar ketika kerja kerja penyelenggaraan enjin dilakukan oleh juragan bot, Mohamad Sulong, 68, bersama dua lagi rakannya kira kira jam 10.40 pagi pada 15 Mac lalu.