Dakwa MUIP niaga, labur wang zakat tak berasas

Tohmahan sebegitu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tanggungjawab berkenaan dijalankan dengan penuh amanah malah MUIP mengeluarkan pengagihan yang lebih banyak berbanding kutipan dengan menggunakan peruntukan dari sumber lain.

Dakwaan kononnya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menggunakan wang zakat untuk jalani perniagaan dan pelaburan serta tidak diagih ke saluran betul adalah tidak berasas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, tohmahan sebegitu tidak sepatutnya ditimbulkan kerana tanggungjawab berkenaan dijalankan dengan penuh amanah malah MUIP mengeluarkan pengagihan yang lebih banyak berbanding kutipan dengan menggunakan peruntukan dari sumber lain.

“Tahun lepas negeri Pahang mengutip sebanyak RM138.7 juta tetapi membuat pengagihan sebanyak RM142 juta. Sepatutnya tidak timbul isu ini kerana kita bukan sahaja tidak boleh berniaga bahkan menggunakan sumber lain untuk menampung pengagihannya,” katanya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas Majlis Buka Puasa MUIP di Hotel Grand Darul Makmur di sini, hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan.

Sementara itu, Wan Abdul Wahid berkata, tahun ini Pusat Kutipan Zakat (PKZ) yang bertanggungjawab melaksanakan kempen Wajib Taksir Zakat telah menghubungi 1083 majikan namun daripada jumlah itu sebanyak 482 majikan memberi respon.

Menurutnya, kesemua majikan itu menyerahkan 37, 077 nama, nombor kad pengenalan dan jawatan pekerja mereka untuk tindakan selanjutnya oleh pihak PKZ’.

Katanya, semakan mendapati daripada jumlah itu lebih 15,000 daripada mereka belum membuat bayaran zakat pendapatan kepada PKZ dan borang kepada mereka telah dihantar pada 1 Mei lalu.

“Majikan yang tidak memberikan kerjasama akan dirujuk ke Pejabat Penasihat Undang Undang Negeri untuk mendapatkan pandangan tindakan selanjutnya. Buat masa ini kita tidaklah ke tahap pelaksanaan penguatkuasaan undang-undang kerana kita sebagai muslim sedia maklum, menunaikan zakat pendapatan adalah Fardu Ain dan ia kewajipan muslim,” katanya.