Tiada tindakan terhadap Ketua Pengarah Yapeim

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh bertegas tiada tindakan akan diambil terhadap Ketua Pengarah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim), Datuk Abibullah Samsudin susulan penyebaran video ucapan didakwa mempengaruhi kakitangan yayasan itu pada PRU14.

Beliau berkata, kerajaan tidak boleh mengambil tindakan terhadap Abibullah atau penjawat awam lain atas kesetiaan politik mereka sebelum PRU pada 9 Mei tahun lalu itu.

Dalam klip video itu, Abibullah memberi amaran kepada kakitangannya supaya tidak menyokong PH.

Apabila ada di kalangan hadirin yang memberitahunya undi mereka adalah rahsia, Abibullah berkata: “Saya akan cek dengan SPR (Suruhjaya Pilihan Raya) semua staff 1,401. Saya akan cek satu persatu di mana anda undi dan anda undi apa.

“Ramai marah dan tanya kenapa masih simpan lagi Ketua Pengarah (Yapeim). Saya kata kerajaan akan ambil tindakan atas dasar prestasi kerja. Bukan dasar balas dendam politik. Orang marah dan suruh buang tapi pada saya kita berpegang prinsip keadilan. Kalau dia salah guna kuasa maka pekerja kena buat laporan. Jika dia tak langgar, kita tak boleh buat tindakan berpandukan sesuatu yang lepas.

“Video itu tular kejadian sebelum pilihanraya jika ada laporan polis dibuat, maka biarlah tindakan itu dimbil oleh polis bukan kami (kementerian),Bagi pihak Jabatan Perdana Menteri kita bertindak berdasarkan laporan audit” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media  program Iftar Ramadan bersama Jabatan Penerangan Negeri pahang di Kompleks Dagangan Mahkota, di sini, hari ini.

Dalam program itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 28 penghuni Rumah Anak Yatim Permata Insyirah.

Sementara itu,  Fuziah berpesan kepada kakitangan kerajaan pada hari ini agar tidak menekan hak kakitangan bawahan.

“Anda tidak boleh lagi berbuat begitu sewaktu di bawah pemerintahan PH. Jangan secara terbuka menekan orang lain berkenaan hak peribadi, hak untuk memilih mana mana parti. Di tempat kerja, dalam kerja kena profesional dan serve the gorverment of the day. Bukan parti tapi kerajaan pada hari ini.

“Kita kena pisahkan apa yang berlaku kerajaan lepas dan kerajaan sekarang. Jika ada unsur ugutan ke atas pihak pekerja, pekerja perlu lapor,”katanya.