£250 juta untuk Solksjaer rombak United

Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif United, Ed Woodward telah meluluskan dana tersebut selepas menyaksikan The Red Devils gagal mempamerkan aksi cemerlang termasuk gagal melangkah ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Foto - The National

MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer akan dibekalkan dana sebanyak £250 juta (RM1.32 bilion) untuk membuat rombakan besar-besaran terhadap pasukannya pada jendela perpindahan musim panas yang dibuka secara rasmi Khamis lalu.

Difahamkan, Ketua Pegawai Eksekutif United, Ed Woodward telah meluluskan dana tersebut selepas menyaksikan The Red Devils gagal mempamerkan aksi cemerlang termasuk gagal melangkah ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.

Solskjaer pula dipercayai sudah mempunyai rancangan bagi menandatangani sekurang-kurangnya 10 pemain baharu untuk dibawa ke Old Trafford musim panas ini, sekali gus menggantikan pemain-pemain yang tidak disambung kontraknya.

Antara pemain yang bakal dilepaskan secara percuma oleh United adalah kapten pasukan musim lalu, Antonio Valencia dan dua pemain tengah berkaliber dari Sepanyol, Juan Mata dan Ander Herrerra.

Beberapa pemain yang sedang dirisik oleh Solskjaer pula adalah dua pemain Atletico Madrid, Thomas Partey dan Saul Niguez, Aaron Wan-Bissaka (Crystal Palace), Harry Maguire (Leicester City), Declan Rice (West Ham) serta Kalidou Koulibaly (Napoli).

Jika dana yang diberikan tidak mencukupi, United dilaporkan turut bersedia untuk menjual beberapa pemain bertaraf bintang seperti David De Gea, Romelu Lukaku dan Paul Pogba sekiranya mendapat tawaran yang bersesuaian.

Namun, pemain No. 1 yang disasarkan untuk dijual pada musim depan adalah Alexis Sanchez memandangkan pemain antarabangsa Chile itu merupakan penerima gaji termahal di Liga Perdana England (EPL) dengan £505,000 seminggu (RM2.68 juta). – Agensi