Gelaran trebel City sempurna

Dalam aksi tersebut, Raheem Sterling nyata berada pada kelas tersen­diri apabila meledak hatrik sementara tiga gol lagi terhasil masing-masing hasil sentuhan David Silva, Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus.

CITY melengkapkan gelaran trebel musim ini selepas merangkul Piala FA awal pagi semalam dengan menundukkan Watford 6-0 pada aksi final di Wembley.

LONDON – Manchester City mengesahkan gelaran trebel musim ini selepas berjaya membenamkan cabaran Watford 6-0 pada pentas final Piala FA di Stadium Wembley awal pagi semalam.

Kosmo melaporkan, Dalam aksi tersebut, Raheem Sterling nyata berada pada kelas tersen­diri apabila meledak hatrik sementara tiga gol lagi terhasil masing-masing hasil sentuhan David Silva, Kevin De Bruyne dan Gabriel Jesus.

Pengurusnya, Pep Guariola menjelaskan, kejayaan pasukannya menjulang gelaran tersebut bukan suatu yang mudah selepas mereka turut memenangi kempen Liga Perdana England (EPL) dan Piala Liga England.

Menurutnya, kejayaan menjulang gelaran trebel berkenaan adalah lebih sukar jika dibandingkan dengan pemburuan trofi Liga Juara-Juara (UCL).

“Ia merupakan musim terbaik yang pernah saya lalui sepanjang karier sebagai pengurus pasukan.

“Saya tidak me­ngatakan ini yang terbaik tetapi sudah pasti ia merupakan salah satu daripadanya.

“City berjaya menjadi pasukan pertama yang meraih pencapaian sedemi­kian di England. Jadi, bila kami sudah buktikan bahawa ia mampu dilakukan, sudah tentu ia akan kembali berulang selepas ini.

“Tidak dinafikan UCL merupakan salah satu trofi yang saya impikan, namun apa yang boleh saya katakan adalah tugas mendapatkan gelaran trebel di England adalah lebih sukar.

“Seluruh warga dalam pasukan ini wajar diberikan pujian apabila kami perlu melalui jadual yang padat. City perlu berdepan setiap perlawanan dalam masa tiga hari dan tidak mempunyai tempoh rehat yang cukup.

“Hari ini jelas pemain sedikit keletihan kerana baharu sahaja menyelesaikan kempen EPL. Saingan EPL kali ini tidak mudah dan saingannya sangat hebat.

“Kami perlu menyimpan tenaga dan menggunakannya ketika mana perlu dan hari ini telah terbukti segalanya,” kata Guardiola.­ – Agensi