PTPTN: Sekatan ke luar negara tidak wajar

Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan cadangan sekatan itu perlu dikaji semula. - TPM, Wan Azizah Wan Ismail

Sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam yang gagal membayar balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah tidak wajar, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Malaysiakini melaporkan, beliau berkata setakat ini kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara tersebut dan cadangan sekatan itu perlu dikaji semula.

“Kita tidak ada apa-apa keputusan. Kita pun rasa bila masa kita berbincang (mengenai sekatan itu)? PTPTN telah memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak melanjutkan pengajian mereka namun ada juga segelintir tidak bayar balik.

“Kalau nak rolling itu memanglah ada masalah tapi kalau nak buat sekatan-sekatan ini, tak wajar. Kita mesti kaji balik. Itu yang kita tentang dulu, kita protes dulu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama orang kelainan upaya (OKU) anjuran bersama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah dan Pertubuhan Kebajikan Ehsan Ummah Selangor, di Kuala Lumpur, semalam.

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan sebelum ini dilaporkan berkata cadangan supaya PTPTN menguatkuasakan semula sekatan terhadap peminjam culas merupakan antara idea yang dikemukakan pihak berkaitan hasil daripada sesi libat urus dijalankan.

Bernama