MB Pahang mohon doa rakyat jelata untuk Almarhum Sultan Ahmad Shah

Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur - MB Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan mengesahkan berita kemangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi tadi.

“Dengan penuh rasa kesedihan dan kesayuan, saya dengan ini mengumumkan kemangkatan KDYMM Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri‘ayatuddin Al Muadzam Shah pada pagi Rabu, 22 Mei bersamaan 17 Ramadan 1440 Hijrah.

“Almarhum mangkat pada jam 8.50 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebooknya.

Sehubungan itu, Wan Rosdy turut memohon rakyat jelata sekalian agar bersama-sama mendoakan moga-moga roh Almarhum Paduka Ayahanda dirahmati Allah Subhanahu Wata’ala, serta ditempatkan bersama-sama para Syhuhada’.